Rindu 42 tahun terlerai

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDARAYA MELAKA 13 Mei – Rindu sahabat sekelas yang terpisah hampir 42 tahun akhirnya terlerai apabila dipertemukan pada perjumpaan semula di Majlis Hi-Tea dan Sambutan Aidilfitri, di sebuah hotel, di sini, semalam.

Pada majlis itu seramai 25 bekas pelajar Kelas C, Aliran Bahasa Melayu Sekolah Menengah Tun Tuah Sesi 1975-1979 berjaya dikumpulkan.

Pengerusi penganjur, Datuk Roslan Eusoff, 61, berkata, meluahkan rasa syukur kerana dapat mengumpulkan kembali bekas rakan sekelasnya pada Syawal tahun ini.

Katanya, selepas lebih empat dekad meninggalkan bangku sekolah, rata-rata mereka kini bergelar insan berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi.

“Kami terpisah lama kerana ramai yang telah mempunyai karier sendiri dan berkeluarga, selain ada yang menetap di negeri lain.

“Selepas pencen akhirnya kami ditemukan di mana, rata-rata rakan sekelas Tingkatan 1 sampai Tingkatan 5 ini terdiri daripada anak jati Kampung Morten, Bachang dan Tengkera.

“Kami semua membesar sebagai anak kampung yang latar belakang ibu bapa kami sebagai buruh. Tetapi kini, semuanya mempunyai kerjaya profesional dalam pelbagai bidang.

“Alhamdulillah rasa sebak apabila dapat jumpa kawan-kawan yang telah lama terpisah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Nada sama turut dizahirkan bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Zainudin Abdul Hamid, 61, yang menyifatkan pertemuan semula itu seakan mengimbau zaman muda mereka.

Katanya, aplikasi WhatsApp menjadi titik permulaan menemukannya dengan rakan sekelas yang lain sejak 2013, namun dek kekangan masa, mereka terpaksa menunggu sehingga Syawal tahun ini untuk bersua muka.

“Bila mula-mula sampai sini saya memang tak kenal semua rakan-rakan kerana masing-masing sudah menjangkau usia emas dan banyak perubahan fizikal, tapi setelah berborak baru kita kenal dan ingat siapa mereka semua.

“Alhamdulillah, kami bersyukur sebab ada jodoh ditemukan dan berharap silaturahim yang dibina ini kekal utuh pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1594
Kongsi :
Previous post Roboh pekan lama, lebarkan jalan atasi kesesakan
Next post Yakult mahu ibu fokus utamakan kesihatan
Ubah saiz-+=