Perkenal aplikasi aduan dalam talian di DUN Paya Rumput

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PAYA RUMPUT 24 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin akan membangunkan satu aplikasi dalam talian khas untuk masyarakat di Paya Rumput.

Katanya, aplikasi tersebut boleh digunakan untuk orang ramai menyalurkan sebarang aduan yang berlaku di kawasan itu.

“Saya akan buat satu aplikasi untuk aduan terus dalam talian, khas untuk penduduk dalam kawasan Paya Rumput.

“Buat mereka yang mahu membuat sebarang aduan secara manual, boleh terus hubungi saya dan jika ikutkan, hampir separuh penduduk disini tahu di mana saya tinggal, jadi mereka boleh terus kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika ditemui di Kampung Krubong, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rais turut memberi jaminan lapan manifesto yang dibentangkan sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan sekadar ‘cakap kosong’.

Beliau sebaliknya berkata, lapan manifesto itu realistik dan mampu dilaksanakan demi memastikan kebajikan rakyat dan kemajuan di DUN Paya Rumput terus terpelihara.

Katanya, fokus akan diberikan kepada beberapa isu rakyat termasuk masalah banjir di beberapa kawasan, merealisasikan pelaksanaan ‘UpTown Paya Rumput’ dan capaian internet yang kurang memuaskan di beberapa kawasan.

“Saya tidak janjikan banyak, tapi antara lapan aku janji adalah menyelesaikan isu yang membelenggu bukan sahaja di kawasan krubong tapi di Tanjung Minyak, di Cheng dan hal ini akan saya pastikan dapat diselesaikan dalam tempoh lima tahun ini.

“Insya-Allah, rakyat beri mandat dengan mengundi saya, jadi izinkan saya untuk berkhidmat sekarang, saya akan buktikan dengan tindakan yang bukanlah sekadar bercakap kosong sahaja kerana saya tidak menjanjikan langit, bulan dan bintang sampai berbelas manifesto. Saya hanya letak aku janji saya lapan perkara.

“Lapan perkara ini kita istilah sebagai do-able, saya akan buat, saya yakin saya mampu menyelesaikan isu di tempat (DUN) saya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

951
Kongsi :
Previous post MB, KM setuju pinda undang-undang negeri benarkan individu 18 tahun jadi calon pilihan raya
Next post Melaka United rangka strategi, sedia cipta sejarah baru
Ubah saiz-+=