PERKHIDMATAN KAUNTER PBT MELAKA AKAN DIPERHEBAT

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 24 September – Kekuatan kakitangan di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini akan diperinci bagi memastikan pembukaan kaunter pada waktu rehat beroperasi dengan lebih efektif.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, pihaknya akan memastikan perkara itu direalisasikan dengan jayanya bermula 1 Oktober ini.

Jelas beliau, ia bagi memberi masa lebih lama kepada masyarakat untuk berurusan di kaunter meskipun pada waktu tengah hari.

“Di PBT, kita akan lihat dari segi kekuatan kakitangan dan mungkin perlu membuat penambahan. Kalau hanya setakat membuka satu kaunter tetapi orang ramai ia akan menyulitkan keadaan.

“Untuk itu di pihak PBT sudah membuat satu kajian supaya cadangan Ketua Menteri itu dapat dilaksanakan dengan baik apabila kaunter yang dibuka dapat menampung jumlah pelanggan contohnya dengan membuka tiga kaunter atau separuh daripada jumlah keseluruhan kaunter yang ada.

“Bagi memastikan hasrat Ketua Menteri ini berjalan lancar, pihak PBT akan mengambil maklum dan cuba membuat penyelarasan terbaik dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas sesi rakaman Podcast Mana Lagi Melaka Ler di Studio Melaka TV, di sini, hari ini.

Zulkiflee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning yakin inisiatif yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu disambut baik oleh rakyat Melaka khususnya apabila tempoh untuk berurusan di mana-mana kaunter tidak lagi terhad.

“Ini cadangan yang amat baik terutamanya untuk rakyat dan apabila dilaksanakan kelak orang ramai yang ingin mendapat perkhidmatan di kaunter atau membuat pembayar di kaunter tidak perlu lagi terkejar-kejar.

“Namun begitu, perancangan yang teliti perlu dilakukan setiap jabatan dan agensi terlibat dalam memastikan operasi di kaunter berjalan lancar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post MELAKA RAIH EMAS PERTAMA PARA SUKMA 2024
Next post ROGOL ANAK OKU, BAPA KEKAL DIPENJARA 25 TAHUN, 10 SEBATAN
Ubah saiz-+=