Perluas program selawat dan qasidah di seluruh Parlimen

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER LIMAU 29 Oktober – Program-program berselawat dan qasidah perlu diperluaskan dalam negeri ini bagi memperkasa syiar Islam khususnya dalam kalangan anak muda.

Pengerusi Program Masjid Tanah Berselawat, Datuk Hameed Mhyteen Kunju Basheer berkata, menerusi hasrat Kerajaan Negeri, program berselawat akan dianjurkan di setiap Parlimen di Melaka selepas ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata, pihaknya berpuas hati dengan penganjuran program tersebut sekali gus meningkatkan kesedaran generasi muda dan rasa cinta ke atas Nabi Muhammad SAW.

“Kita lihat anak muda sahut seruan ini kerana ramai yang hadir malam ini malah program malam ini merupakan cadangan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan hasratnya itu takkan terhenti di sini, akan diteruskan di seluruh Parlimen.

Img 2446
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika hadir ke Majlis Masjid Tanah Berselawat Malam Cinta Rasul Tahun 2023 di Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Program berselawat di bumi Masjid Tanah bukan pengakhirannya kerana biarpun di peringkat negeri dilaksanakan setiap tahun kita akan perluaskan ke seluruh Parlimen.

“Hal ini kerana kita nak beri peluang khususnya kepada anak-anak muda sebab kadangkala ada yang tidak sempat hadir di peringkat negeri jadi jika dianjurkan di peringkat Parlimen mereka berpeluang memeriahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, di sini malam tadi.

Terdahulu, program diadakan penuh kesyukuran disambut kira kira 7,000 umat Islam yang memenuhi dataran sekolah itu seawal jam 6.30 petang tadi.

Majlis ilmu itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Hadir sama barisan Exco dan Timbalan Exco; ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

793
Kongsi :
Previous post 7,000 berhimpun meriahkan Program Masjid Tanah Berselawat
Next post Berbusana pahlawan berhujan demi sukan sunnah
Ubah saiz-+=