Perodua Kancil terbalik, kontraktor maut

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 Julai – Sub-kontraktor maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terbalik dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di jalan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Melaka Sentral, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu mengakibatkan mangsa Nordin Mohamed Yusop, 39, maut dilokasi kejadian akibat kecederaan parah dialami.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan itu membabitkan Perodua Kancil dipandu mangsa, Mercedes Benz, Perodua Axia serta Perodua Alza.

Beliau berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan memandu dalam perjalanan dari arah persimpangan lampu isyarat Bukit Palah menghala ke Melaka Sentral.

“Siasatan dijalankan mendapati semasa melalui kawasan hadapan sebuah gedung tekstil kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu merempuh sebuah Mercedes Benz dipandu lelaki berusia 33 tahun yang ketika itu sedang berhenti menunggu lampu isyarat.

“Akibat daripada rempuhan itu, kenderaan terbabit kemudian berlanggar dengan dua lagi kereta dihadapannya iaitu Perodua Axia dan Perodua Alza,” katanya.

Menurutnya, tiada rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi membawa keluar mangsa yang tersepit sejurus menrima panggilan kecemasan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian bomba mendapati terdapat seorang lelaki tersepit ditempat duduk hadapan dalam keadaan kereta yang terbalik sebelum kerja mengeluarkan mangsa dilakukan.

“Pintu kenderaan kemudian diumpil selain bomba turut menggunakan alatan khas. Mangsa yang disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1966
Kongsi :
Previous post Usahawan Melaka perlu rebut peluang – Ab Rauf
Next post Pemilik kediaman boleh dikenakan tindakan jika penyewa lakukan jenayah
Ubah saiz-+=