Persembahan pesawat warnai langit Melaka bulan depan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MASJID TANAH 29 Ogos – Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) bakal dianjurkan tiga hari bermula 29 September depan berupaya menjadi acara penarik menjelang ketibaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, karnival yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam itu menawarkan pelbagai acara menarik antaranya pertunjukan udara daripada pesawat pelbagai negara.

Katanya, penganjuran membabitkan beberapa buah negara termasuk Malaysia itu mampu memperkasa subsektor pelancongan udara di Melaka dan berupaya menarik kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung.

“Karnival yang akan berlangsung di LTAM ini akan membuka peluang kepada pelancong dan anak Melaka untuk mengenali jenis-jenis pesawat dari seluruh agensi penguatkuasa di negara ini, selain negara luar seperti Australia, Singapura, Thailand, Eropah dan Rusia.

“Pelbagai persembahan dan pameran membabitkan 22 pempamer akan terlibat sepanjang karnival yang diadakan selama tiga hari bermula 29 September hingga 1 Oktober.

“Malah, karnival ini juga mendapat penyertaan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Penulisan Pantun Sekolah-sekolah Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023 dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hameed memaklumkan, harga tiket bagi karnival berkenaan adalah serendah RM5 bagi dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak.

“Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan KUAM yang pastinya membawa suatu dimensi baharu untuk negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6183
Kongsi :
Previous post Ayer Keroh lokasi sambutan malam ambang merdeka, esok
Next post Nahas Elmina: Data CVR pesawat berjaya diekstrak
Ubah saiz-+=