Sorting by

×

Pertahan, martabat silat di Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 26 Julai – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menzahirkan harapan agar seni silat terus dimartabatkan di negara dan negeri ini amnya.

Beliau berkata, seni bela diri itu perlu dipertahankan khususnya dalam kalangan generasi masa kini dan seterusnya.

“Seni silat telah memainkan peranan yang besar dan amat signifikan dalam memastikan budaya anak bangsa ini terkenal dan diwarisi di peringkat sejagat.

“Seperti mana kita sedia maklum, silat kini berkembang luas bukan hanya di rantau ini tetapi juga di negara-negara lain di dunia yang tidak berkongsi budaya dan adat resam yang sama. Perbezaan inilah yang menyatukan kita sebagai pengamal seni silat.

“Sehubungan dengan itu, seni bela diri silat ini perlu dipertahankan supaya satu daripada budaya persilatan yang telah bertapak sekian lama ini akan dapat dikekalkan dan diterima oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Kejuaraan Pencak Silat Dunia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Upacara perasmian itu telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) Datuk Seri Probowo Subianto; Penasihat Kehormat PESAKA Datuk Seri Najib Razak; Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Norza Zakaria, Presiden PESAKA Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Sulaiman mewakili kerajaan negeri dan rakyat Melaka berbangga dan berbesar hati kerana Melaka dipilih sebagai lokasi penganjuran Kejuaraan Pencak Silat Dunia kali ke-19 itu.

Katanya, pemilihan itu bertepatan memandangkan bumi Melaka bersejarah sememangnya sarat dengan peristiwa-peristiwa penting berkait dengan pahlawan Melayu ketika zaman Kesultanan Melaka.

“Saya juga ingin mengucapkan selamat bertanding dan selamat maju jaya kepada seluruh keluarga silat dunia yang akan mempamerkan kehebatan mereka di dalam setiap kategori yang dipertandingkan.

“Menang atau kalah merupakan adat pertandingan, yang lebih penting adalah gunakanlah kesempatan yang ada ini untuk memperkukuhkan hubungan sesama pesilat, bertukar-tukar pandangan dan pendapat demi mencapai masa depan silat yang lebih cemerlang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1410
Kongsi :
Previous post ‘Mat Kilau’ buat kemunculan
Next post Penang jadi ‘lauk’ Melaka United
Ubah saiz-+=