Pertanian bandar bawa keuntungan kepada komuniti Taman Pulai Indah

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat
NORHISYAM menunjukkan tanaman hidroponik yang baru sahaja diusahakan awal tahun lalu.

SERKAM 6 Julai – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pulai Indah menjadikan aktiviti pertanian bandar sebagai cara untuk menjana pendapatan dan pada masa sama mengeratkan hubungan dalam komuniti.

Pengerusinya, Norhisyam Zahari, 43, berkata, sejak projek berkenaan diusahakan bersama komuniti dan wakil belia kawasan terbabit pada 2014, pelbagai manfaat telah diterima komuniti di kawasan itu.

Menurutnya, ia termasuklah keuntungan ribuan ringgit daripada hasil jualan tanaman berkenaan yang mana kemudiannya ia diagihkan untuk manfaat seluruh komuniti di kawasan terbabit.

“Sejak projek ini dilakukan, kita mampu menuai kira-kira 30 kilogram (kg) hingga 40 kg cili dalam tempoh enam bulan dan kesemua hasil itu kita jualkan terus kepada individu dan pasaraya sekitar.

“Keuntungan daripada program pertanian ini boleh dikatakan mencapai ribuan ringgit.

“Tetapi keuntungan itu, bukan untuk diri sendiri, sebaliknya kita agihkan kepada mereka yang banyak membanting tulang dan juga seluruh penduduk dalam bentuk program,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI), baru-baru ini.

Jelas Norhisyam lagi, penglibatan aktif mereka sejak enam tahun lalu juga telah menjadikan KRT Taman Pulai Indah sebagai antara perintis dan komuniti paling aktif dalam pertanian bandar di daerah Jasin.

Atas hasil kerja keras itu, komuniti berkenaan telah terpilih menerima geran bernilai RM50,000 menerusi Projek Pertanian Bandar atau Kebuniti oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang disampaikan oleh Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, baru-baru ini.

Mengulas mengenai geran yang diterima itu, Norhisyam berkata, pihaknya bercadang untuk meluaskan lagi projek tanaman fertigasi dan pelbagai bentuk pertanian moden lain dalam masa terdekat.

“Sekarang kita sudah ada 200 polibag atau 400 pokok cili, jadi kami bercadang untuk menggandakan jumlah itu dan mencari kawasan yang sesuai untuk diusahakan bersama komuniti di kawasan ini.

“Selain itu, kita juga sudah memulakan projek tanaman hidroponik awal tahun lalu yang mana projek berkenaan juga akan diperluaskan bagi membolehkan hasil tuaian kita meningkat dan memberi lebih manfaat kepada semua penduduk kawasan ini,” katanya lagi.

Views:

563
Kongsi :
Previous post Zoo Melaka terus gamit pelancong
Next post Melaka catat sejarah Zon Hijau Covid-19
Ubah saiz-+=