Zoo Melaka terus gamit pelancong

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 6 Julai : Zoo Melaka merekodkan seramai 18,160 pengunjung dalam tempoh 19 hari, selepas dibenarkan kembali beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) setelah ditutup kira- kira tiga bulan ekoran wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, jumlah itu direkodkan apabila orang ramai mengambil peluang beriadah bersama keluarga selepas ‘terkurung’ di rumah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sejak dibuka pada 10 Jun lalu seramai 18,160 pengunjung direkodkan melawat ke Zoo Melaka sehingga 28 Jun lalu dan promosi harga yang ditawarkan juga menyumbang kepada jumlah pengunjung.

“Pada hujung minggu sahaja kira- kira 6,000 pengunjung direkodkan hadir, walaupun Zoo Melaka membenarkan hanya 500 pengunjung masuk pada satu masa,” katanya.

Menurut beliau, dalam menggalakkan lebih ramai pengunjung datang, pihak pengurusan Zoo Melaka tetap mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan sosial dan proses sanitasi.

“Setiap hari pekerja zoo akan melakukan proses sanitasi selama dua jam bermula 12 tengah hari sehingga 2 petang sebelum pengunjung dibenarkan masuk kembali,” katanya.

Mengulas lanjut Abdul Ghafaar berkata, selepas dibuka semula, Night Safari juga mendapat sambutan apabila merekodkan kedatangan 200 pengunjung pada malam pertama selepas kembali beroperasi.

“Night Safari dibuka semula dan beroperasi pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu, cuti umum serta sekolah bermula 8 malam hingga 11 malam,” katanya.

Views:

481
Kongsi :
Previous post SKMM terima 11 laporan berita palsu berkaitan Covid-19 di Melaka
Next post Pertanian bandar bawa keuntungan kepada komuniti Taman Pulai Indah
Ubah saiz-+=