Melaka catat sejarah Zon Hijau Covid-19

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 6 Julai – Melaka diisytiharkan sebagai negeri Zon Hijau selepas 14 hari berturut-turut tiada kes baharu direkodkan.

Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, bermula daripada kes pertama pandemik itu direkodkan pada 12 Mac lalu sehingga semalam, sebanyak 256 kes positif dilaporkan di negeri ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 130 kes dilaporkan di Daerah Melaka Tengah, 50 kes di Alor Gajah, manakala 76 kes di Jasin.

“Sebanyak 251 atau 98 peratus daripada jumlah kes telah sembuh dan lima kematian direkodkan iaitu empat kes di Jasin manakala satu lagi di Melaka Tengah.

“Daripada 256 kes positif dilaporkan, sebanyak 130 kes positif melibatkan kluster tabligh Masjid Seri Petaling, 89 kes import, kes survelan madrasah (15) dan kes kontek kes positif (13), kes sporadik (4) dan saringan warga emas (2) serta kes orang kena tahan (2),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Kesyukuran Negeri Kembali Hijau Dari Jangkitan Covid-19 di Kompleks Seri Negeri, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah, Rahmad Mariman.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Seri Utama Idris Haron dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar.

Untuk rekod, kali terakhir Melaka Tengah merekodkan kes baharu adalah pada 23 Jun lalu membabitkan Orang Kena Tahan (OKT) di Balai Polis Banda Hilir.

Sulaiman berkata, meskipun negeri itu masih belum bebas sepenuhnya, namun situasi itu sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan ekonomi negeri.

“Saya menyeru kepada yang orang ramai yang mahu berkunjung ke negeri ini, Melaka hari ini bebas untuk dikunjungi.

“Rakyat negeri mengalu-alukan kedatangan anda semua untuk menikmati produk pelancongan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat Negeri Melaka supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sehingga vaksin pandemik itu ditemui.

“Rakyat Melaka, ini adalah norma baharu, sekalipun kita bebas daripada Covid-19, kita hadapi kehidupan yang baru dengan mengamalkan pelitup muka, memakai cecair pembasmi kuman dan seterusnya mengamalkan penjarakan sosial,” katanya.

Views:

312
Kongsi :
Previous post Pertanian bandar bawa keuntungan kepada komuniti Taman Pulai Indah
Next post Dua pusat kuarantin di Melaka ditutup
Ubah saiz-+=