Pertimbang lagu kebangsaan dimainkan di pasar raya dan premis swasta

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 31 Ogos – Lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya, dipertimbang akan dimainkan di setiap pasar raya dan bangunan swasta pada setiap pagi Isnin.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan penetapan perkara itu bagi memastikan semangat patriotisme terus disemat dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Katanya, sebelum ini semua pejabat kerajaan diwajibkan untuk memainkan dua lagu berkenaan pada jam 10 pagi setiap hari Isnin.

“Kita melihat ia amat baik dan mungkin nyanyian ini akan dipanjangkan ke semua peringkat orang ramai pada masa yang sesuai nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanatnya pada Sambutan Ambang Merdeka Sempena Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Melaka diadakan di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Terdahulu, kira-kira 30,000 pengunjung dari pelbagai latar agama dan kaum membanjiri Dataran Sejarah Ayer Keroh bagi menyaksikan detik ambang Merdeka yang diraikan pada tahun ini.

Sambutan julung kali diadakan selepas negara dilanda pandemik COVID-19 diraikan dengan meriah diwarnakan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, bacaan puisi dan sajak dan nyanyian oleh penyanyi lagenda negara Datuk Wan Aishah Wan Arifiin.

Antara yang membuat persembahan adalah tarian Sireh Pinang dan tarian Tualang Tiga oleh pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek Persembahan Gendang 24 Musim pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Bin, tarian tradisional India dari murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kubu.

Program disusuli dengan Amanat Kemerdekaan oleh Ab Rauf sebelum kiraan detik Ambang Merdeka diiringi beberapa nyanyian lagu patriotik beramai ramai dengan kibaran Jalur Gemilang dan persembahan bunga api.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1040
Kongsi :
Previous post 30,000 rakyat Melaka rai sambutan ambang merdeka
Next post Bacaan surah al-Fatihah wanita Orang Asli pikat hati juri
Ubah saiz-+=