Bacaan surah al-Fatihah wanita Orang Asli pikat hati juri

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

ASAHAN 31 Ogos – Meskipun sekadar mengalunkan surah al-Fatihah, namun seorang wanita Orang Asli tidak menyangka ia berjaya memikat hati juri sekali gus memenangi pertandingan membaca surah itu.

Aisha Natasha Gani, 21 berkata, pada mulanya dia agak gugup untuk membacakan surah berkenaan kerana dibimbangi salah sebutan.

“Alhamdulillah, tak sangka tiba-tiba menang, saya yakin dan berani masuk pertandingan ini kerana memang sudah hafal dan sentiasa mengikuti kelas agama.

“Lagipun semasa solat, surah ini juga dibaca, terima kasih juga kepada ibu dan ayah yang sentiasa sokong saya dan ini hadiah sebagai wakil kepada penduduk Perkampungan Orang Asli Gapam Baru.

“Awalnya saya tidak sangka boleh menang sebab ramai juga yang masuk pertandingan ini, namun saya mengganggap kemenangan ini adalah rezeki saya,” katanya kepada Melaka Hari Ini di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2023-08-30 at 17.40.26
SYARIFAH

Kemenangan itu turut diraih seorang warga emas Syarifah Dollah,76, yang hanya mencuba nasib untuk masuk pertandingan itu.

“Sebenarnya saya suka-suka sahaja sertai pertandingan ini, tak sangka pula menang, daripada tiada aktiviti yang ingin dibuat lebih baik saya masuk pertandingan membaca surah ini.

“Lagipun suami saya sudah meninggal, saya hanya tinggal dua beranak sahaja di rumah, jadi daripada bosan tiada buat apa-apa lebih baik sertai aktiviti yang boleh dapat pahala,” kata ibu kepada 11 anak ini.

Terdahulu Aisyah Natasha dan Syarifah menerima hadiah yang disampaikan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin pada Sambutan Kemerdekaan Bersama Orang Kita (Orang Asli) anjuran Persatuan Kebajikan Muslimah Melaka di Perkampungan Orang Asli Gapam Baru di sini, hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

860
Kongsi :
Previous post Pertimbang lagu kebangsaan dimainkan di pasar raya dan premis swasta
Next post Kemeriahan Ambang Merdeka bukti perpaduan Malaysia Madani
Ubah saiz-+=