Pertubuhan Pembela Klebang Besar sedia khidmat kereta percuma

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

KLEBANG 27 Jun – Bermodalkan RM5,000, Pertubuhan Pembela Klebang Besar mengambil inisiatif untuk mewujudkan khidmat kereta percuma bagi membantu warga emas dan golongan berpendapatan bawah 40 peratus (B40) di kawasan ini.

Pengerusinya, Datuk Mohd Yusof Abu Hasan berkata, khidmat kereta percuma itu disediakan khas untuk membantu masyarakat setempat yang memerlukan bantuan bagi tujuan ke klinik dan urusan kebajikan.

Katanya, sejak diwujudkan awal Jun lalu, pihaknya sudah membantu seramai kira-kira 15 orang kampung daripada berbilang bangsa yang memerlukan khidmat itu.

“Saya dapat idea ini selepas melihat van jenazah di masjid yang sering tersadai kerana hanya menunggu kematian barulah digunakan. Jadi saya terfikir, mengapa tidak kita mewujudkan satu kenderaan untuk bantu mereka yang masih hidup?

“Jadi, saya cari satu kereta terpakai dan keluarkan modal untuk membaik pulih kenderaan itu bersama anak muda di kampung ini. Kiranya, ini adalah fardu kifayah daripada kami untuk membantu masyarakat di kampung ini.

“Khidmat ini juga kita buat selaras dengan saranan Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali yang meminta setiap kampung sediakan inisiatif khas untuk membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Seorang penduduk kampung, Soh Kim Choo, 75, berterima kasih kepada Pertubuhan Pembela Klebang Besar yang telah menyediakan khidmat untuk membantunya ke klinik untuk mengambil ubat pada setiap bulan.

Dia yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi berkata, sebelum wujudnya khidmat ini, dia terpaksa bergantung ihsan jiran tetangga untuk ke klinik.

“Saya tinggal sendirian. Jadi memang susah untuk bergerak ke klinik yang jauh dari rumah. Adakalanya, saya meminta bantuan adik dan adakalanya jiran untuk ke klinik.

“Sekarang bila ada khidmat ini, ia sangat membantu saya. Terima kasih kepada Pertubuhan Pembela Klebang Besar dan Ketua Menteri yang sentiasa prihatin dengan masyarakat,” katanya.

Nada sama turut dizahirkan, Johar Abdullah, 79, yang menyifatkan khidmat kereta percuma itu menandakan keprihatinan yang tinggi daripada pemimpin setempat.

“Saya baru tahu mengenai khidmat ini dan terus ke RUTC Klebang untuk meminta bantuan menghantar saya ke klinik.

“Sebelum ini memang susah sikit sebab anak dan cucu saya kebanyakannya bekerja. Jadi sekarang urusan ke klinik saya semakin mudah dan saya menyanjung tinggi servis yang diberikan untuk membantu orang kampung,” katanya.

Selain memberi khidmat penghantaran ke klinik, kereta percuma itu turut membantu seorang lagi penduduk R. Manogeran, 63 untuk ke bank bagi urusan pengeluaran wang bantuan kerajaan.

Dia memuji khidmat berkenaan yang disifatkan sebagai mesra masyarakat dan menjadi pemudah cara bagi golongan yang memerlukan sepertinya.

Views:

817
Kongsi :
Previous post “Tak boleh peluk, salam banduan”
Next post Parkir percuma setiap Isnin dan Selasa
Ubah saiz-+=