Peruntukan RM5 juta caj warisan indahkan Bandar Melaka – MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 10 Sept – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memperuntukkan sejumlah RM5 juta menerusi kutipan caj warisan bagi menambahbaik fasiliti pelancongan di negeri ini.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata inisiatif itu dilaksanakan untuk memberi lebih keselesaan kepada pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Beliau berkata, caj warisan yang dikutip dari pelancong sebanyak RM2 itu dimanfaatkan untuk kedua-dua belah pihak.

“Saya fikir balik kenapa kita simpan duit caj warisan, kita ada 40 peratus duit ini dan 60 peratus untuk kerajaan negeri.

“Alhamdulillah, sejak tahun lalu saya beritahu pengurusan tertinggi bahawa kita patut belanjakan duit caj warisan ini di kawasan-kawasan warisan yang ada.

“Caj warisan ini kita kutip daripada hotel-hotel yang kita caj RM2, jadi atas dasar itu kita belanjakan untuk fasiliti pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman anugerah khas ‘Jean Paul L’ Allier Prize for Heritage dari Pertubuhan Bandar Warisan Dunia (OWHC) menerusi aplikasi Zoom, malam tadi.

Jelasnya, MBMB bersama kerajaan negeri terus melaksanakan projek-projek pengindahan Bandar Melaka menggunakan duit caj warisan itu.

“Saya akan gunakan duit caj warisan ini untuk tujuan memperbanyakkan kawasan landskap dan artskap seperti di bawah jejambat Masjid Al-Azim, Cheng, Malim, Semabok dan Peringgit.

“Kita akan indahkan kawasan bawah jejambat ini dengan memasang lampu, buat landskap supaya pada waktu malam nampak lebih menarik.

“Lain-lain nanti saya akan gunakan juga duit caj warisan ini untuk perkara-perkara yang bersangkutan dengan warisan pelancongan,” katanya lagi.

Katanya, hasil caj warisan yang dikutip daripada rakyat mestilah dikembalikan dengan perkhidmatan yang lebih baik.

“MBMB bukan profil orientasi berasaskan keuntungan, duit yang kita dapat daripada rakyat kita mesti kembalikan dengan perkhidmatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1094
Kongsi :
Previous post Polis tahan 11 lelaki, rampas dadah bernilai RM34.1 juta
Next post Kit ujian COVID-19: Lagi murah lagi bagus, tapi…
Ubah saiz-+=