Pesakit COVID-19 bagaikan ‘ahli keluarga’ petugas kesihatan negara

Masa Membaca:5 Minit, 26 Saat

BAGI petugas kesihatan yang mengendalikan pesakit COVID-19, mereka ini ibarat ‘pil penenang’ atau ‘ahli keluarga sementara’ pesakit kerana pada kebanyakan masa di sisi dan ada yang sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Apa yang mereka lakukan ini sememangnya lebih jauh daripada tugas dan tanggungjawab.

Dari mula pesakit COVID-19 diibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) mahupun ke hospital, petugas kesihatanlah yang akan menemani mereka kerana tiada ahli keluarga mengiringi mereka ke sana.

Sifat keinsanan serta belas mereka petugas jelas diuji kerana berhadapan dengan pesakit daripada pelbagai latar belakang dan tahap penyakit yang berbeza.

PETUGAS kesihatan sedang memberikan rawatan kepada pesakit COVID-19 di PKRC. Foto Facebook KKM.

“Maka, tidak menghairankanlah apabila kebanyakan barisan petugas kesihatan sudah menganggap pesakit seolah ahli keluarga sendiri memandangkan sentiasa bersama mereka.

“Apabila ada yang menjadi korban virus maut itu, ia amat meruntun hati,” demikian kongsi Ashidah Abdul Rahman, 29, kepada Bernama.

Ashidah yang berasal dari Kuala Lumpur berkhidmat sebagai penolong pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Bandar Tun Razak selama lebih lima tahun dan ditugaskan di PKRC MAEPS (Taman Ekspo Pertanian, Serdang, Selangor) sejak 8 Disember 2020.

Sebagai penolong pegawai perubatan, Ashidah mengiringi pemandu ambulans untuk mengambil pesakit COVID-19 di tempat kediaman mereka untuk dihantar ke PKRC MAEPS.

Beliau tidak menafikan pengalaman mengendalikan pesakit COVID-19 adalah paling mencabar sepanjang tempoh kerjayanya bukan sahaja kerana berhadapan dengan bahaya virus maut itu tetapi juga kemungkinan pesakit yang dibawa serta dikendalikan tidak dapat diselamatkan daripada ancaman virus berkenaan, yang akhirnya meninggal dunia.

Menceritakan lebih lanjut, ibu kepada tiga orang anak ini berkongsi pengalaman menguruskan pesakit COVID-19 yang paling sukar dilupakan dan masih terpahat kukuh dalam ingatannya sehingga ke hari ini. Kes berkenaan melibatkan pasangan warga emas yang berusia 60 tahun.

“Pasangan warga emas ini sepatutnya dihantar ke PKRC MAEPS. Bagaimanapun, keadaan kesihatan isterinya yang tidak stabil, memaksa kami untuk membawanya ke hospital, sementara suaminya dihantar ke PKRC MAEPS.

“Situasi ketika itu memang sangat meruntun hati kerana makcik tersebut berasa sangat sedih kerana tidak dapat menjalani rawatan di MAEPS bersama suaminya. Sebelum makcik ini naik ambulans, dia menangis dan peluk suaminya sambil minta maaf seolah-olah akan tahu dia akan pergi buat selama-lamanya.

“Tetapi siapa sangka, memang itu pelukan dan salam terakhir kerana makcik itu meninggal dunia keesokan harinya di wad kecemasan,” kata Ashidah.

 

Biarpun pertemuan antara Ashidah bersama wanita tersebut hanyalah sementara, namun, ia begitu berbekas dalam hatinya disebabkan terkilan kerana terpaksa memberi harapan kepada isteri warga emas tersebut bahawa beliau akan dapat bertemu kembali suaminya apabila dirinya pulih nanti.

“Bukan mudah kerana kami bukan sahaja perlu mengawal emosi dalam mengendalikan situasi pesakit sebegini tetapi anak mereka juga yang melihat dari jauh dengan penuh harapan semasa ibu, ayah dibawa ke hospital atau pusat kuarantin dengan ambulans.

“Mereka (anak) tidak hanya mengharapkan kami untuk memberikan rawatan terbaik tetapi juga sebagai ‘ahli keluarga sementara’ buat ibu atau ayah mereka yang dijangkiti COVID-19 kerana tidak dapat menemani bersama,” katanya.

TAMPAR MUKA SENDIRI

Keutuhan jalinan perasaan sebagai ‘ahli keluarga sementara’ dalam melaksanakan kewajipan hakiki sebagai petugas kesihatan bukan hanya dirasai Ashidah tetapi juga turut meruntun hati mereka yang lain, termasuklah pemandu ambulans, Muhammad Syahril Md Nazri, 33.

Bagi Muhammad Syahril, tanggungjawab yang dipikulnya bukanlah sekadar memandu ambulans dan menghantar pesakit ke hospital atau pusat kuarantin. Ia adalah lebih daripada itu termasuklah cabaran mengendalikan warga emas yang tidak berdaya untuk berjalan dan tinggal di rumah bertingkat.

“Ada masanya, kami terpaksa membantu petugas kesihatan lain membawa turun pesakit yang tinggal di kawasan rumah bertingkat. Saya masih ingat satu kes seorang wanita warga emas berusia 80 tahun yang tidak larat berjalan dan tinggal di rumah Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Tidak ada jalan lain selain terpaksa mendukung makcik itu turun dari tingkat atas. Kami tidak boleh mengharapan pertolongan orang lain sebab mereka tidak memakai pakaian PPE. Memang 100 peratus memerlukan kudrat petugas kesihatan dan pemandu ambulans sahaja,” katanya.

Biarpun berasa letih apatah lagi ketika ini kes jangkitan COVID-19 yang masih lagi tinggi dengan setiap hari ada sahaja pesakit baharu yang perlu dihantar ke hospital atau pusat kuarantin, namun atas kesedaran mahupun tanggungjawab, semua perasaan negatif itu dilempar jauh.

Memandu ambulans bukanlah satu tugas yang mudah kerana ia memerlukan cara pengendalian kenderaan yang tangkas untuk sampai ke destinasi dituju di samping pada masa sama memastikan keselamatan petugas kesihatan dan pesakit yang berada di dalamnya.

Ini kerana, sekiranya lalai walaupun sekadar lima minit, ia berisiko membahayakan mereka yang lain dan kerana itu banyak kemalangan melibatkan ambulans disebabkan faktor tidak cukup rehat berikutan waktu bekerja yang panjang serta tidak menentu.

“Memang letih, sampai saya pernah tampar muka sendiri pada jam 2 pagi supaya dapat memandu dengan selamat. Ini kerana, perjalanan ambulans mengambil pesakit positif ini boleh mencecah 400 kilometer sehari dan itu menunjukkan betapa getirnya keadaan pandemik ini.

“Malah, saya masih ingat ketika menghantar seorang pesakit COVID-19 yang pada awalnya nampak elok tetapi keadaannya tiba-tiba bertukar teruk. Tekanan darahnya turun mendadak dan ini membuatkan saya cuak dan terpaksa memandu sepantas mungkin ke hospital kerana pesakit itu sudah berumur dan berisiko. Rasa letih semua diketepikan,” katanya.

TOLONGLAH! COVID-19 BUKAN REKAAN

Hakikatnya, ini hanyalah baharu sebahagian daripada kisah pengorbanan petugas kesihatan yang memikul peranan lebih daripada tanggungjawab hakiki mereka.

Ianya bukan sahaja Ashidah mahupun Muhammad Syahril bahkan pastinya kesemua petugas kesihatan negara berasa sedih dan kecewa apabila masih ada lagi yang mengambil mudah akan ancaman wabak tersebut.

Malah, lebih teruk apabila ada yang mempertikaikan angka jangkitan, menganggap virus itu sebagai ‘tipu’ dan paling menyedihkan tular satu video yang memaparkan seorang wanita yang begitu gembira kerana dijangkiti COVID-19 tanpa berasa bimbang sedikit pun.

Walhal, pengorbanan petugas kesihatan sejak lebih setahun lalu begitu besar dalam memerangi pandemik tersebut. Ada yang sehingga tidak dapat meluangkan masa sebaiknya dengan pasangan masing-masing juga anak mereka. Mereka juga tidak dapat rehat secukupnya, tidak dapat makan dengan sempurna kerana pemakaian PPE dan banyak lagi.

“Tolonglah, COVID-19 adalah betul, ia bukannya rekaan. Ada kawan saya tidak percaya COVID-19 itu betul tetapi akhirnya dia dijangkiti dan saya sendiri yang mengambilnya ketika itu untuk dibawa ke hospital apabila sudah sesak nafas.

“Bagaimanapun, selepas dia sihat, isteri dan anaknya pula dijangkiti. Masyarakat, selagi mereka tidak kena, akan ingat COVID-19 ini adalah rekaan,” keluh Muhammad Syahril yang turut kecewa dengan sikap individu yang masih lagi leka dengan membawa anak keluar ke tempat awam walhal jumlah kanak-kanak yang dijangkiti wabak tersebut semakin bertambah dari hari ke hari.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

545
Kongsi :
Previous post Enam terkorban, kapal penumpang karam di Selat Bali, Indonesia
Next post Muhyiddin dimasukkan ke hospital kerana alami diarea
Ubah saiz-+=