Sorting by

×

Pesta ‘pancing ikan darat’ di Kampung Gelam

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PANTAI KUNDOR 24 Ogos – Seramai 198 peserta terdiri daripada golongan belia, kaum wanita dan orang kampung telah menyertai Pertandingan Memancing Ikan Darat bertempat di Benteng Sawah Kampung Gelam, semalam.

Pertandingan anjuran Pergerakan Puteri UMNO Tangga Batu itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali yang diiringi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Senator Datuk Seri Mohd Ali Mohamad dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Pertandingan memancing itu diadakan bermula jam 9 pagi dan berakhir pada 1 tengah hari dengan yuran penyertaan serendah RM10 seorang.

Menurut Ketua Puteri UMNO negeri Nurashiqin Alias, penganjuran program berkenaan dianggap cukup unik memandangkan hobi memancing yang biasanya dimonopoli kaum lelaki telah dianjurkan golongan wanita daripada Puteri UMNO sendiri.

Jelasnya, matlamat utama melalui penganjuran itu adalah untuk mendekati orang kampung, khususnya golongan belia dalam satu suasana santai dikelilingi sawah padi.

“Kebiasaannya pertandingan diadakan di kolam dan pantai, tetapi kita memilih sawah dan tali air kerana ia lebih seronok dan nampak lebih santai dalam suasana kampung.

“Saya ucapkan tahniah kepada Pergerakan Puteri Tangga Batu kerana berani dan berjaya menganjurkan program yang baik seperti ini. Saya percaya ia satu gerak kerja yang baik kerana kita dapat lebih dekat dengan orang kampung untuk gerak kerja Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.

Sementera itu, penganjur pertandingan merangkap Ketua Puteri Tangga Batu, Shalina Dolmat berkata, penganjuran program berkenaan telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memandangkan negara masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Alhamdulillah semua peserta mematuhi SOP ditetapkan dengan memakai pelitup muka dan mencatat nama pada buku yang disediakan.

“InsyaAllah, selepas ini kita akan menganjurkan program-program berbeza pula dengan misi untuk terus mendekati orang muda, terutama mereka yang berada di bawah Parlimen Tangga Batu,” katanya.

Di akhir pertandingan menyaksikan Al Nasir Hamdani muncul juara dengan mendaratkan hasil tangkapan keseluruhan seberat 0.745 kilogram (kg) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik Othman Baba dan Muhammad Faris Irfan yang membawa pulang hadiah wang tunai RM300 dan RM200.

Views:

620
Kongsi :
Previous post Bayar cukai taksiran, dapat motosikal percuma
Next post MPHTJ bakal ‘hidupkan’ kembali Melaka Mall
Ubah saiz-+=