PH mahu cabar keabsahan kerajaan sementara- Adly

Masa Membaca:59 Saat

AYER KEROH 5 Okt. – Pakatan Harapan (PH) akan merujuk kepada mahkamah bagi memastikan keabsahan ‘caretaker government’ (kerajaan sementara) yang diumumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini.

Pengerusi PH negeri, Adly Zahari berkata, berdasarkan sidang media diadakan oleh Ab Rauf jelas menunjukkan bahawa Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sudah kehilangan kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membolehkannya terus memegang jawatan Ketua Menteri Melaka.

Katanya, oleh itu PH Melaka berpandangan adalah tidak wajar untuk Sulaiman dibenarkan menjadi Ketua Menteri kerajaan sementara.

“Ini selaras dengan apa yang berlaku (precedent case) pada 2 Mac 2020, yang mana tugas pentadbiran Kerajaan Negeri dipertanggungjawabkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri
sehingga Ketua Menteri baharu dilantik.

“PH Melaka akan merujuk kepada mahkamah bagi memastikan keabsahan ‘caretaker government’ sepertimana yang diumumkan oleh Speaker DUN Melaka,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, Adly berkata PH turut berpandangan bahawa permohonan Sulaiman kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk membubarkan DUN Melaka Ke-14 mempamerkan sikap beliau yang tidak bertanggungjawab kerana rakyat masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19, malahan Pilihan Raya Negeri Sarawak juga ditangguhkan atas alasan sama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

883
Kongsi :
Previous post Kesal kemelut politik Melaka sengaja diwujudkan demi agenda peribadi- Shahril
Next post DAP tidak setuju PRN Melaka
Ubah saiz-+=