Piala Malaysia: Melaka United kuat, KL City liat

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) memulakan aksi separuh akhir pertama dengan keputusan memuaskan apabila berjaya memperoleh bekalan satu gol di tempat lawan dalam aksi menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC), malam tadi.

Ia selepas kedua-dua pasukan itu terikat 1-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium KLFA Cheras.

Walaupun beraksi tanpa penyokong susulan insiden penyokong menceroboh masuk padang di Cheras minggu lalu, aksi kedua-dua pasukan tampak seimbang dengan saling melakukan asakan sebaik wisel sepak mula dibunyikan.

Melaka United tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila Adriano berjaya memecah kebuntuan seawal minit ke-8.

Gol itu terhasil menerusi sepakan percuma di depan pintu gol yang dimanfaatkan sepenuhnya penyerang kelahiran Brazil itu untuk menewaskan penjaga gol KL City, Kevin Mendoza.

Namun, tuan rumah berjaya bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-26 menerusi Zhafri Yahya yang menanduk masuk bola hantaran Paulo Josue.

Melaka United memperoleh peluang terbaik untuk kembali di depan pada minit ke-34 apabila Sony Norde berjaya melakukan larian deras ke dalam kotak penalti.

Malangnya, rembatan penyerang import dari Haiti itu berjaya ditepis penjaga gol.

Sebelum berakhir separuh masa pertama, satu lagi peluang berjaya dijelmakan anak buah Zainal Abidin Hassan, kali ini menerusi Manuel Ott yang melakukan rembatan tepat ke arah gol dari luar kotak penalti.

Namun, sekali lagi ketangkasan penjaga gol lawan menafikan peluang untuk meletakkan Melaka United di depan dan keputusan berakhir seri 1-1 pada babak pertama.

Bersambung di babak kedua, perlawanan terus rancak untuk kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Trio penyerang import Melaka United yang diketuai Norde, Adriano dan Giovanne Gomez beberapa kali cuba meruntuhkan benteng KL City, namun berjaya dipatahkan.

Begitu juga KL City yang turut memperoleh peluang keemasan menerusi penyerang import mereka untuk mencari bekalan selesa bagi aksi timbal balik nanti.

Namun, tiada gol terhasil dan keputusan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Walaupun seri, namun ia dianggap sebagai bekalan selesa buat skuad Hang Tuah untuk aksi timbal balik di Stadium Hang Jebat, 26 Nov ini.

Ia berikutan peraturan gol tempat lawan akan digunapakai sekiranya kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam 90 minit aksi separuh masa kedua nanti.

Apa yang pasti, Melaka United turut memperoleh kelebihan memandangkan bakal beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri dalam perlawanan kedua itu nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1209
Kongsi :
Previous post PRN Melaka penanda aras BN terus langkah pembaharuan – Zahid
Next post Bomba selamatkan remaja tersesat di hutan
Ubah saiz-+=