PIBG cadang pelajar divaksin di sekolah

0
1347
GAMBAR hiasan

AYER KEROH 6 Sept – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah di Melaka mencadangkan pemberian vaksin bagi pelajar berusia 12 hingga 17 tahun diadakan di sekolah.

Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, Azahar Abu Bakar, 56, berkata, pemilihan sekolah sebagai lokasi suntikan vaksin COVID-19 dianggap lebih memudahkan berbanding mengarahkan pelajar ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Katanya, pihak PIBG bersama guru sedia turun padang membantu memudahkan proses penyelarasan suntikan vaksin berkenaan.

AZAHAR, Yang Dipertua PIBG SK Durian Tunggal.

“Kita sememangnya menyambut baik pemberian vaksin kepada pelajar kerana sekurang-kurangnya anak kita di sekolah mempunyai pelindung daripada ancaman COVID-19.

“Tapi pada pandangan saya, lebih baik pemberian vaksin itu diadakan di sekolah-sekolah kerana ibu bapa tidak perlu pergi jauh untuk menghantar anak mereka menerima vaksin.

“Jika sukar untuk melaksanakan di setiap sekolah, saya cadang agar dipilih satu sekolah di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memudahkan proses itu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Nada sama disuarakan Yang Dipertua SK Ayer Keroh, Mat Noor Md Zin, 52, yang menyifatkan pemberian vaksin COVID-19 di sekolah dapat memastikan tiada pelajar tercicir.

Beliau berkata, pihak PIBG akan turut sama berganding bahu bersama pihak sekolah dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sekiranya perkara itu direalisasikan.

MAT NOOR, Yang Dipertua PIBG SK Ayer Keroh.

“PPV sedia ada memang perlu dikekalkan, cuma cadangan saya agar ia ditambah di sekolah-sekolah tertentu di negeri ini.

“Dengan cara ini, saya beranggapan ia lebih baik, memudahkan serta mempercepatkan pemberian vaksin kepada pelajar.

“Apabila pelajar sudah divaksin, saya percaya sesi persekolahan akan berlangsung lebih baik tanpa ada ketakutan dalam kalangan ibu bapa.

“Di pihak PIBG, kita akan sentiasa memainkan peranan dalam memberikan penerangan jelas kepada ibu bapa mengenai kepentingan vaksin kepada anak-anak mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini majoriti ibu bapa menyambut baik pengumuman kerajaan untuk memberikan vaksin kepada pelajar berusia 12 hingga 17 tahun dan berharap ia disegerakan sebelum sekolah dibuka sepenuhnya nanti.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan diadakan dalam masa terdekat.

Katanya, Sarawak akan menjadi projek rintis pemberian itu memandangkan negeri berkenaan sudah mencapai 80 peratus populasi dewasa divaksinasi.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan negeri itu dijangka akan memulakan program vaksinasi remaja pada Rabu ini dengan persiapan berkaitan kini di peringkat akhir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.