Pinda perlembagaan mampu perkuat UMNO hadapi PRU15 – Mohd Ridhwan

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BUKIT KATIL 22 Mei – Pindaan Perlembagaan UMNO yang membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mengadakan pemilihan selepas Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) akan memperkuatkan lagi persiapan jentera tanpa ada sebarang gangguan.

Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, usul yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas itu menunjukkan kesepakatan dan semua Ahli UMNO bersatu hati demi demi rakyat.

“Keputusan ini memperlihatkan sokongan sebulat suara ditunjukkan bahawa dalam UMNO kita bersatu hati dan fokus utama adalah kepada PRU15.

“Insya-Allah dengan pindaan baharu ini yang dipersetujui oleh semua perwakilan akan menguatkan lagi persiapan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Japerun Bukit Katil dan PERTAM, di Dewan Demang Husin, hari ini.

Menurut beliau, keputusan pindaan itu secara tidak langsung juga dapat mengelak daripada berlakunya kepincangan dalaman.

“Apabila pemilihan dibuat selepas PRU jadi kesatuan dan perpaduan akan lebih kuat lagi selain sudah tentu persediaan ke arah PRU tidak akan terganggu dengan isu pemilihan serta hal dalaman.

“Jadi kita harapkan agar fokus diberikan kepada kepentingan rakyat dan untuk kembalikan mandat rakyat dalam memilih kerajaan,” katanya.

Sementara itu, mengulas sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri diadakan, Mohd Ridhwan berkata, sambutan diterima pihaknya amat meriah dan diluar jangkaan.

“Dalam tempoh satu jam kira-kira 3,000 pengunjung sudah hadir dan dijangka jumlah itu akan bertamah. Semangat ditunjukkan masyarakat amat luar biasa.

“Walaupun begitu mereka yang hadir masih mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) selain pihak penganjur juga dari masa ke semasa turut memberi ingatan,” katanya.

Terdahulu, turut hadir Yang Di Pertua negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Asmah Abdul Rahman dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama memeriahkan majlis, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum serta barisan EXCO Kerajaan Negeri antaranya Ngwe Hee Sem, Datuk Muhammad Jailani Khamis serta V P Shanmugam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

629
Kongsi :
Previous post Malaysia kekal berdaya saing walaupun Indonesia batal larangan eksport minyak sawit
Next post Perlu kajian mendalam sebelum luluskan ganja untuk perubatan – EXCO
Ubah saiz-+=