Sorting by

×

Perlu kajian mendalam sebelum luluskan ganja untuk perubatan – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 22 Mei – Pihak berwajib perlu membuat kajian lebih mendalam dan terperinci terhadap penggunaan ganja atau ‘cannabis’ sebagai ubat sebelum meminta kerajaan meluluskan penggunaan bahan terlarang itu.

Isu penggunaan ganja itu kebelakangan ini menjadi hangat ekoran terdapat segelintir artis dan ahli politik yang membahaskannya.

EXCO Kesihatan Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, satu kajian perlu dilakukan dengan lebih terperinci untuk memastikan ganja selamat dan berkesan digunakan untuk tujuan perubatan ataupun sebaliknya.

Katanya, ia penting memandangkan keputusan yang dibuat akan menentukan masa depan generasi berikutnya pada masa hadapan.

“Pertamanya, sebagai seorang doktor perubatan sudah tentu kami mengalu-alukan apa jua jenis ubat-ubatan yang mampu untuk memberi kesembuhan pada pesakit, sama ada ubat yang telah sedia ada ataupun ubat yang baharu dijumpai.

“Sama juga apabila bercakap mengenai ganja atau cannabis sebagai perubatan, ia mestilah disertakan dengan kajian yang benar-benar terbukti selamat untuk digunakan oleh manusia.

“Daripada kajian sedia ada, hanya ‘chronic pain’ dan ‘multiple sclerosis spasticity’ sahaja yang menunjukkan bahawa cannabis atau ganja mampu untuk memberikan rawatan kepada pesakitnya manakala lain-lain penyakit tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk menunjukkan bahawa cannabis ini adalah berkesan untuk merawat penyakit tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, mana-mana pihak juga perlulah menyertakan fakta dan bukti kajian apabila membuat sesuatu komen dan bukan hanya semata-mata komen yang bersifat populis dan tidak mempunyai data kajian.

Ujarnya, apabila bercakap mengenai soal kesihatan rakyat, ia bukan perkara yang boleh diambil remeh, apa jua yang melibatkan polisi kesihatan rakyat ia perlulah dilakukan kajian yang sangat teliti mengenai baik dan buruknya.

“Kita adalah pemimpin untuk menjaga rakyat, bukanlah untuk mencari populariti semata-mata, maka semua keputusan kita terutama yang melibatkan soal kesihatan rakyat perlulah dilakukan dengan kajian yang teliti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

814
Kongsi :
Previous post Pinda perlembagaan mampu perkuat UMNO hadapi PRU15 – Mohd Ridhwan
Next post Kerajaan lulus peruntukan pembangunan RM132.4 juta kepada JBPM
Ubah saiz-+=