Kerajaan lulus peruntukan pembangunan RM132.4 juta kepada JBPM
KEPALA BATAS, 22 Mei – Kerajaan telah meluluskan peruntukan pembangunan RM132.4 juta kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di bawah Rancangan Malaysia ke-12 bagi menambah baik kesiapsiagaan dan kebajikan anggota.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap perkembangan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan negara, pelbagai usaha diambil bagi memenuhi komitmen perkhidmatan terhadap Keluarga Malaysia terutama daripada aspek pembangunan infrastruktur kebombaan dan modal insan.
“Ini (peruntukan) meliputi perolehan jentera bomba, kenderaan utiliti, kenderaan forensik kebakaran, Personal Protective Equipment (PPE) serta sistem perisian pemantauan kebombaan yang bertujuan meningkatkan keberkesanan jabatan dalam menangani kes kecemasan,” katanya dalam ucapan Sambutan Hari Anggota Bomba sedunia di perkarangan Dewan Millenium di sini hari ini.
Terdahulu Ismail Sabri merasmikan sambutan Hari Anggota Bomba sedunia 2022 bertemakan “Bomba Frontliners, Keluarga Malaysia” yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.
Dari aspek kebajikan, perdana menteri berkata kerajaan telah meluluskan permohonan pemanjangan bayaran elaun kemahiran khas kepada pegawai yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM).
“Walaupun pada peringkat awal kita menerima permohonan dengan kadar RM300 bagi dua insentif untuk jurulatih dan tenaga pengajar, saya berpandangan kadar itu tidak sesuai dan saya telah mengarah Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menambah jumlah elaun-elaun jurulatih dan tenaga pengajar,” katanya.
Beliau berkata kelulusan elaun ini akan memberi manfaat kepada 114 orang pegawai bomba dari Gred KB19 hingga KB38 yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di lima buah Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Diharapkan dengan kelulusan ini, jurulatih dan tenaga pengajar dengan kemahiran khas ini akan terus meningkatkan komitmen dan kualiti kerja ke arah melahirkan modal insan yang berkualiti dan berwibawa,” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata dalam mendepani cabaran masa kini, JBPM perlu berusaha meningkatkan kecekapan dan profesionalisme menerusi program-program strategik disusuli pelan tindakan yang melibatkan seluruh lapisan Keluarga Malaysia.
“Menyedari cabaran yang dihadapi itu, Kerajaan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JBPM telah bergerak secara proaktif dengan menggubal Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) 2021-2030.
“Dasar ini diyakini dapat melahirkan Keluarga Malaysia yang berdaya tahan serta mampu mengadaptasi konsep penyelamat nyawa rakyat dalam kehidupan seharian, terutama ketika berdepan sebarang situasi kecemasan atau bencana,” katanya.
Beliau berkata dasar ini melibatkan komitmen pelbagai pihak dalam menjalin hubungan kerjasama strategik dengan industri keselamatan, kebakaran dan kebombaan.
Katanya pemantapan terhadap aspek perlindungan kebakaran melalui penggunaan teknologi terkini seperti automasi dan robotik pula mampu meningkatkan keyakinan bukan sahaja dalam kalangan Keluarga Malaysia, malah pemain industri dan juga pelabur.
“Saya yakin melalui DKPN 2021-2030, warga KPKT khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan menzahirkan komitmen padu untuk merealisasikan hasrat dan aspirasi penyampaian perkhidmatan kebombaan yang dinamik dan progresif,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.