Pindah babi tanpa kebenaran, pemandu lori didenda RM2,000

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

BUTTERWORTH, 6 Jan – Gara-gara ingin mengambil langkah mudah dengan memindah empat ekor babi tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang, seorang pemandu lori didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret M. Kalaiarasi menjatuhkan hukuman itu setelah Tan Jie Xuan, 22, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin.

Tertuduh didakwa memindahkan empat ekor babi hidup dari Tasek Gelugor ke rumah sembelihan babi Hi-Good Corporation Sdn Bhd, Kampung Selamat Tasek Gelugor di daerah Seberang Perai Utara dengan menggunakan lori tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada pengarah negeri atau mana-mana pihak berkuasa veterinar, pada 24 Nov tahun lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Perintah 4 (1)(a) Perintah Haiwan (Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 perintah bawah Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM15,000.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Roziman Awang Tahrin, manakala Tan yang tidak diwakili peguam sebelum itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang rendah dan memohon agar lorinya dikembalikan.

Kalaiarasi kemudian memerintah tertuduh dilucutkan hak hasil jualan empat ekor babi berkenaan berjumlah RM1,200 dan dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda manakala lori akan dikembalikan selepas denda dibayar.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

601
Kongsi :
Previous post Buli viral: Nasib 10 pelajar MRSM Kuala Kangsar kini di tangan pendakwa raya
Next post DUN Johor rakam takziah kepada keluarga Osman Sapian
Ubah saiz-+=