PKP 3.0: ERL gantung semua perkhidmatan mulai esok

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KUALA LUMPUR 3 Jun – Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan menggantung semua perkhidmatan trennya mulai esok sehingga notis lanjut susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

ERL dalam kenyataan semalam memaklumkan keputusan dibuat susulan rundingan dengan Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat selain mengambil kira arahan terkini kerajaan berhubung langkah bekerja dari rumah serta sekatan perjalanan lebih ketat yang bermula kelmarin.

“Justeru, bagi memastikan ERL mampu meneruskan perkhidmatan kepada semua pelanggannya sebaik sahaja PKP ditamatkan dan kekal mampan dari segi kewangan, syarikat dengan penuh rasa kesal terpaksa menggantung sementara perkhidmatannya sehingga notis lanjut,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut lebih setahun selepas penularan pertama COVID-19, hampir tidak ada perjalanan udara dan bilangan pengguna perkhidmatan tren tersebut adalah terhad.

Ini menyebabkan purata pengguna harian ERL merosot sebanyak 69 peratus pada 2020 berbanding 2019 sebelum negara dilanda COVID-19 dan dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh semalam, purata penumpang terus menjunam sebanyak 89 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut kenyataan itu, mereka yang terpaksa melakukan perjalanan kerana perkara yang mustahak sepanjang tempoh PKP 3.0 adalah dinasihatkan mengambil langkah alternatif untuk pengangkutan mereka.

Maklumat berhubung opsyen pengangkutan dari setiap stesen ERL dan kemas kini perkhidmatan boleh didapati di laman sesawang www.KLIAekspres.com, Facebook serta Twitter KLIA Ekspres dan bagi mereka yang memerlukan bantuan lanjut sila hubungi Pertanyaan Pelanggan di talian 03-2267 8000 (Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 6 petang).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1018
Kongsi :
Previous post Segerakan pelaksanaan bantuan PEMERKASA Tambahan
Next post Bantuan rakyat Melaka diumum esok- Sulaiman
Ubah saiz-+=