PKP dilaksanakan semula jika kes COVID-19 cecah tiga angka

Masa Membaca:57 Saat

KOTA BHARU, 26 Julai – Kerajaan akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika kes COVID-19 kembali mencecah tiga angka, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata berkata kerajaan tidak mempunyai pilihan selain menguatkuasakan semula PKP fasa satu itu bagi membendung penularan pandemik.

“Kalau sudah mencapai tiga angka kita tidak mempunyai pilihan lain dan akan memperkenalkan semula PKP dan kita akan melihat perkara ini.

“Saya memahami kalau PKP ini dikuatkuasakan semula, ia akan menyukarkan semua pihak termasuk kita yang mahu bekerja dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia bersempena Program Cakna Veteran ATM di Wakaf Mek Zainab di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan mengulas peningkatan kes COVID-19 di negara ini sejak kebelakangan ini.

Beliau juga berkata peningkatan semula kes jangkitan kepada dua angka berpunca daripada kealpaan masyarakat termasuk melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Esok akan ada satu mesyuarat membincangkan pelbagai perkara dan sekiranya kerajaan akan memutuskan pelbagai perkara, rakyat mestilah mematuhi SOP itu nanti,” katanya.

Beliau juga mengingatkan umat Islam yang pulang bersempena Hari Raya Aidiladha supaya mematuhi SOP termasuk ketika menghadiri ibadah korban.- BERNAMA

Views:

352
Kongsi :
Previous post Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka hadir Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Masjid Tanah
Next post Individu gagal jalani ujian saringan kedua COVID-19 ditangkap mulai esok
Ubah saiz-+=