PKPB: Banyak kelonggaran, tapi bersyarat

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 19 Feb. – Beberapa syarat kelonggaran telah diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa di Melaka bermula hari ini.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka, Mohd Nasrul Menhat berkata, kelonggaran di peringkat negeri kebanyakannya menyentuh mengenai pergerakan dalam daerah yang sama.

Katanya, pergerakan dalam daerah PKPB yang sama di negeri ini adalah dibenarkan, manakala pergerakan ke daerah atau kawasan PKPB lain, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita juga membenarkan bilangan penumpang dalam kenderaan persedirian mengikut kapasiti kenderaan berbanding semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 hanya dua penumpang sahaja dalam sebuah kenderaan.

“Dalam tempoh PKPB ini kelonggaran juga diberikan kepada sektor perniagaan di negeri ini beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam seperti pasar raya, pusat beli belah dan kedai runcit.

“Selain itu pelanggan diberi kebenaran untuk makan di dalam premis mengikut kapasiti meja dengan penjarakan fizikal satu meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Nasrul berkata, penganjuran mesyuarat secara bersemuka dan keramaian turut dibenarkan dengan kapasiti 50 peratus kehadiran di dalam satu bilik atau tempat.

“Kita juga membenarkan semua aktiviti sukan dan rekreasi individu dan berpasukan bagi tujuan kesihatan, kecergasan, latihan, permainan atau perlawanan dan penganjuran kejohanan atau pertandingan tempatan tanpa penyokong dan di dalam daerah sama,” katanya.

Biarpun beberapa syarat telah dilonggarkan MKN, namun pihaknya menegaskan beberapa garis panduan lain perlu dipatuhi agar tidak keliru dengan kelonggaran diberikan dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Jelasnya, beberapa aktiviti untuk sektor lain masih tidak dibenarkan beroperasi termasuk aktiviti hiburan yang menjalankan kelab malam mahupun pub, konsert atau sebarang acara langsung dengan kehadiran penonton adalah dilarang.

“Bagaimanapun, bagi aktiviti panggung wayang dibenarkan hanya di zon hijau dalam kawasan PKPB yang dibenarkan saja.

“Bagi sektor pelancongan pula aktiviti pelancongan ke luar kawasan PKPB di kawasan PKP dan PKPD adalah dilarang. Ia juga termasuk membabitkan pelancongan ke luar negeri oleh warganegara dan aktiviti pelancongan dalam negeri yang melibatkan pelancong asing memasuki Malaysia kecuali pelancong asing daripada negara dinyatakan kerajaan,” katanya.

Bagi aktiviti di masjid dan surau dibenarkan dengan had kehadiran ditetapkan pihak berkuasa agama negeri.

“Aktiviti di rumah ibadat bukan Islam dibenarkan dengan had kehadiran ditetapkan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi rumah ibadat di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

774
Kongsi :
Previous post Sesi persekolahan menengah bermula 4 April
Next post Beri keutamaan vaksin kepada pemain industri pelancongan
Ubah saiz-+=