Beri keutamaan vaksin kepada pemain industri pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 19 Feb. – Kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan persekutuan agar pemain industri sektor pelancongan turut diberi keutamaan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa kedua yang dijadual bermula April sehingga Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, perkara itu penting memandangkan pekerja pelancongan boleh dianggap seperti petugas barisan hadapan ekonomi sesetengah negeri, khususnya Melaka yang berteraskan negeri pelancongan.

Justeru, ujarnya, pemberian vaksin secara lebih awal boleh membantu dalam memulihkan semula sektor pelancongan yang mana orang ramai tidak akan takut untuk keluar berbelanja dan melancong dalam negara.

“Saya difahamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali telah mengutarakan untuk pekerja sektor pelancongan diberi keutamaan memandangkan pada dasarnya mereka ini ialah ‘frontliner’ dari sudut ekonomi.

“Ini kerana mereka (pekerja pelancongan) antara individu yang paling banyak berinteraksi dengan rakyat serta pelancong.

“Jika diberikan vaksin, mereka akan imun terhadap COVID-19 lebih awal dan kita bukan sahaja dapat membendung penularan wabak, tetapi pada masa sama orang ramai juga tidak takut untuk melancong dalam negeri,” katanya dalam satu sidang media di bangunan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berharap selepas proses imunisasi vaksin Covid-19 bermula pada 26 Februari depan, kerajaan juga dapat mempertimbangkan agar dibenarkan aktiviti rentas negeri.

Jelasnya, ia berikutan Melaka negeri pelancongan yang bergantung sehingga 70 peratus kepada kedatangan pelancong domestik.

“Sektor pelancongan ini saling berhubung kait antara satu sama lain. Bila sektor pelancongan terkesan, keseluruhan negeri turut mengalami nasib sama memandangkan impaknya kepada ekonomi negeri sebanyak 48 peratus.

“Dengan kebenaran rentas negeri, sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan kerugian dialami sebelum ini, terutamanya membabitkan sektor perhotelan yang paling terjejas teruk,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

287
Kongsi :
Previous post PKPB: Banyak kelonggaran, tapi bersyarat
Next post SUV jadi ‘pelanggan’ kedai makan
Ubah saiz-+=