SUV jadi ‘pelanggan’ kedai makan

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KLEBANG 19 Feb – “Mujurlah saya sempat lari selamatkan diri, kalau tidak sudah meninggal dunia agaknya,” kata Rohana Samad yang masih terkejut apabila premis kedai makanannya dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pulau Gadong, di sini petang tadi.

Dalam kejadian pada jam kira-kira 3.30 petang itu, SUV jenis Honda HRV dipandu seorang wanita yang belum dikenal pasti identitinya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kedai makan di jalan berkenaan berhampiran lampu isyarat di Masjid Saad Ibni Abi Waqqas Klebang Besar.

KEADAAN sebuah kedai makanan di Jalan Pulau Gadong, Klebang Besar yang dirempuh sebuah SUV petang tadi.

Rohana, 50, berkata ketika kejadian dia duduk di bahagian hadapan premis berkenaan manakala ibu saudaranya, Nyonya Saleh berusia 60 tahun sedang memasak di dapur.

“Saya terkejut tiba-tiba kereta itu meluru masuk ke kedai makanan dari jalan besar.

“Mujur saya sempat selamatkan diri dan berlari ke arah dapur,” katanya ketika ditemui di premis berkenaan.

Mengulas lanjut, katanya dia dan ibu saudaranya kerugian lebih RM10,000 berikutan peti ais mengisi bahan mentah dan meja makan serta kerusi rosak teruk akibat dirempuh kenderaan itu.

“Baru sahaja PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat)  bermula hari ini, ingatkan dapatlah rezeki sikit bila boleh bukak kedai tapi nampaknya terpaksa ditutup untuk kerja-kerja membaik pulih.

“Nasib baik juga ketika kejadian tiada pelanggan, kalau tidak sudah tentu ada yang cedera,” katanya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

ROHANA Samad

Sementara itu ibu saudara Rohana, Nyonya Salleh, 60, berkata, dia masih terkejut dengan kejadian itu yang berlaku dalam sekelip mata.

“Sampai sekarang rasa bercampur baur, pening kepala dan berdebar itu belum hilang kerana masih terkejut,” katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan siasatan awal mendapati wanita warga emas itu terbabas selepas mengelak motosikal yang keluar dari simpang kiri jalan berkenaan.

Katanya, akibat terkejut pemandu wanita berkenaan merempuh papan tanda di bahu jalan sebelum merempuh kedai berkenaan.

“Susulan itu polis mengeluarkan saman dan kes disiasat mengikut peraturan 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

 

Views:

402
Kongsi :
Previous post Beri keutamaan vaksin kepada pemain industri pelancongan
Next post e-Sports Melaka akan kembali rancak
Ubah saiz-+=