e-Sports Melaka akan kembali rancak

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

PERKEMBANGAN SUKAN elektronik atau e-Sports kian mendapat perhatian umum, bukan sahaja diminati oleh golongan muda, malah ia turut mencakupi golongan pelbagai umur.

Ditambah pula kategori e-Sports juga termasuk dalam SUKMA 2022 (Sukan Malaysia), ia sekali gus menjadikan sukan tersebut terus mendapat perhatian dalam pembangunan sukan negara khususnya.

Sehubungan itu, Persatuan Sukan Elektronik Negeri Melaka (MEA) telah merangka penganjuran Liga MEA tidak lama lagi, yang bertujuan ‘menggalas’ tanggungjawab untuk memupuk minat, selain melahirkan atlet pelapis e-Sports negeri ini.

MUHAMMAD Hamka

Presidennya Muhammad Hamka Mohd Ali, berkata penganjuran liga tersebut melibatkan tiga jenis permainan yang akan dianjurkan dalam SUKMA 2022 iaitu Dota 2, Mobile Legends Bang Bang (MLBB) dan Pro Evolution Soccer (PES).

“Menerusi penganjuran liga tersebut, kami berharap ia dapat memupuk minat di kalangan penggemar e-Sports untuk mengasah bakat taktikal permainan selain dapat melahirkan bakal atlet e-Sports lebih berdisiplin dan disegani.

“Sudah tentu, MEA sendiri mahu menjadikan penganjuran liga ini dapat dikembangkan sehingga mencapai tahap liga profesional pada masa akan datang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Selain penganjuran liga, beliau menambah, MEA juga menumpukan kepada program melahirkan pengulas atau ‘caster’ dalam kalangan anak Melaka.

“MEA bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan pemain, tetapi kami juga memberi fokus untuk melahirkan pengulas e-Sports dalam kalangan anak negeri ini, kerana umum sudah mengetahui bahawa menjadi pengulas juga boleh menjana pendapatan secara atas talian,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya juga memberi perhatian kepada program kesedaran awam terutamanya melibatkan golongan ibu bapa, yang mana e-Sports sendiri mempunyai nilai prospek positif untuk jangka masa panjang tetapi haruslah melalui didikan yang betul.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

469
Kongsi :
Previous post SUV jadi ‘pelanggan’ kedai makan
Next post Peniaga naikkan harga barang terima notis KPDNHEP
Ubah saiz-+=