PKRC MITC belum boleh beroperasi-KM Sulaiman

0
954
SULAIMAN (dua dari kiri) mendengar taklimat mengenai PKPD Kampung Lubuk Redan daripada Rahizi di Balai Raya Taman Haji Abdullah Samad, Masjid Tanah hari ini.

TANJUNG BIDARA 17 Mei. – Walaupun kes positif COVID-19 di negeri ini meningkat, belum ada keperluan untuk membuka semula Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Menjelaskannya Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, setakat ini PKRC sedia ada di beberapa lokasi masih mampu menampung pertambahan kes positif COVID-19.

SULAIMAN bertanya sesuatu kepada Mas Ermieyati sambil diperhatikan Razali (dua dari kanan) dan Arshad.

“Belum ada keputusan sama ada kita hendak buka semula PKRC MITC kerana kita sedang meneliti pelbagai aspek,” katanya ketika ditemui selepas mendengar taklimat mengenai operasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Kampung Lubuk Redan di Balai Raya Taman Haji Abdullah Samad, di sini hari ini.

Taklimat disampaikan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM), Datuk Dr Ismail Ali; Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Mohd Nasrul Menhat dan Pegawai Daerah Alor Gajah, Rahizi Ranom.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin; Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah dan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu.

Beliau diminta mengulas ura-ura PKRC MITC akan kembali beroperasi berikutan peningkatan jumlah kes positif COVID-19.

Semalam, sebanyak 122 kes positif COVID-19 dicatatkan di negeri ini dengan 106 kes tempatan manakala 16 kes import.

Seramai 859 kes masih dirawat di Hospital Melaka dengan 31 daripada mereka di unit rawatan rapi (ICU) dan sembilan menggunakan bantuan alat pernafasan.

Pertambahan 14 kes dicatatkan bagi Kluster Kampung Hilir Alor Gajah manakala Kluster Air Budi (tiga kes), Kluster Kopitiam Machap Baru (tiga kes) dan Kluster Sebatu (dua kes).

PKRC sedia ada ialah di Kolej Kejururawatan Hospital Melaka dan Penjara Sungai Udang.

Mengenai operasi pasukan barisan hadapan di Kampung Lubuk Redan, Sulaiman berkata, beliau memahami mereka tidak mampu mengelak daripada mengalami keletihan tetapi beliau meminta mereka menguatkan semangat untuk berusaha mengawal operasi PKPD itu.

“Sudah lama kita berjuang melawan COVID-19 dan setakat ini kita masih belum berjaya sepenuhnya tetapi saya yakin kita mampu mencapai kejayaan asalkan kita terus reda dan tabah menghadapi ujian ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.