Polis tumpas sindiket pengedaran dadah, rampas syabu bernilai RM4.2 juta.

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 17 Mei. – Taktik licik sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah antarabangsa yang menggunakan borang kebenaran pengoperasian syarikat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi meloloskan diri dalam sekatan jalan raya (SJR), tumpas susulan penahanan empat individu Rabu lalu.

Serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada jam 5.30 petang itu turut merampas dadah dipercayai syabu bernilai RM4.2 juta yang ditemui di but kereta jenis Volkswagen Passat berwarna putih.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, susulan maklumat daripada APMM, pihaknya melancarkan dua serbuan berasingan di Tanjung Keling dan Muar, Johor.

Katanya, dalam serbuan pertama pihaknya menahan dua lelaki berusia 39 dan 40 tahun di dalam kereta terbabit yang dipercayai sedang menunggu untuk menyeludup dadah berkenaan menerusi jalan laut.

BANYAK….Abdul Majid menunjukkan syabu yang dirampas pada sidang media di IPK Melaka di sini, hari ini.

“Pemeriksaan lanjut dalam kereta berkenaan menemukan dadah syabu seberat 104.6 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM4.2 juta.

“Semua dadah berkenaan disorokkan dalam ruangan diubahsuai yang ditutupi dengan sistem audio bunyi di but kereta terbabit.

“Ketika ditahan kita percaya kedua-dua suspek sedang menunggu untuk membawa semua dadah itu untuk diseludup ke negara jiran melalui jalan laut bagi pasaran luar negara,” katanya pada sidang media di Mes Pegawai Kanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

ABDUL Majid menunjukkan ruangan khas menyimpan dadah di but kereta suspek.

Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek itu memalsukan surat kebenaran pengoperasian syarikat MITI dengan mengaku menjalankan perniagaan alat ganti kenderaan untuk melakukan pergerakan rentas negeri bagi mengaburi pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, susulan penahanan itu, pihaknya membuat satu lagi serbuan di sebuah rumah di Muar, Johor pada jam 6.24 pagi Khamis lalu sebelum menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang bekerja sebagai ahli kimia bersama teman wanitanya berusia 33 tahun.

“Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barang kemas bernilai RM22,506 dan wang tunai RM13,897 serta mata wang asing berjumlah RM713.08 serta menyita tiga kereta PERODUA Myvi.

“Siasatan lanjut mendapati sindiket itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak setahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, penahanan semua suspek dan rampasan dadah itu menjadikan ia adalah rampasan terbesar di Melaka setakat ini.

Katanya, semua suspek yang mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah itu direman tujuh hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

544
Kongsi :
Previous post ‘Banjir berlaku pantas, air naik paras leher’
Next post PKRC MITC belum boleh beroperasi-KM Sulaiman
Ubah saiz-+=