
PLATFORM MEDIA SOSIAL GAGAL TANGANI AKAUN PALSU BERDEPAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG
AYER KEROH 9 Mei – Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini di peringkat akhir bagi tindakan perundangan terhadap platform media sosial yang gagal menangani akaun palsu dan kandungan berbahaya termasuk penghinaan institusi Raja-Raja Melayu.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bakal dilaksanakan sekiranya platform terbabit masih gagal memberikan kerjasama dalam memastikan keselamatan pengguna di negara ini.
Katanya, kerajaan memandang serius isu penghinaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu yang disifatkan sebagai institusi penting dalam Perlembagaan Persekutuan dan wajib dihormati termasuk platform antarabangsa.
“Kita anggap tindakan perundangan itu sebagai pilihan terakhir, tapi kita dah hampir ke ‘last option’.
“Platform-platform seperti Facebook perlu memberi kerjasama yang lebih erat untuk memastikan platform mereka selamat digunakan oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sumbangan Prasarana Sekolah dan Anugerah Pelajar Cemerlang Hang Tuah Jaya di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abd Halim serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, antara undang-undang yang boleh digunakan ialah Akta Keselamatan Dalam Talian atau Online Safety Act (ONSA) yang dijangka diwartakan dalam masa terdekat selepas beberapa kod berkaitan diterbitkan.
Tambahnya, akta itu membolehkan tindakan seperti denda sehingga RM10 juta dikenakan terhadap platform yang gagal mematuhi aspek keselamatan dalam talian.
“MCMC merekodkan lebih 15,000 akaun palsu melibatkan kerabat Diraja dari 1 Januari hingga 6 Mei lalu.
“Selain itu, lebih 230,000 kandungan telah diminta diturunkan daripada pelbagai platform media sosial dengan lebih 90 peratus melibatkan judi dalam talian dan penipuan atau scam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


