
75 PELAJAR CEMERLANG HANG TUAH JAYA TERIMA INSENTIF PEMBELAJARAN
AYER KEROH 9 Mei – Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyampaikan sumbangan berupa komputer riba, wang tunai dan sijil penghargaan kepada 75 pelajar cemerlang daripada keluarga B40 dalam Parlimen Hang Tuah Jaya.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, bantuan itu bertujuan membantu pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), matrikulasi dan institusi pendidikan lain agar mempunyai kemudahan pembelajaran yang lebih baik.
Katanya, penggunaan teknologi secara positif perlu diterapkan dalam kalangan pelajar dan ibu bapa selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
“Tujuan bantuan ini adalah untuk memberi sedikit semangat terutama kepada pelajar-pelajar daripada keluarga yang memerlukan supaya apabila mereka melanjutkan pengajian, ada sedikit bantuan dan kemudahan.
“Saya juga berpesan kepada pelajar dan ibu bapa supaya manfaatkan teknologi dengan baik, teruskan belajar dan amalkan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sumbangan Prasarana Sekolah dan Anugerah Pelajar Cemerlang Hang Tuah Jaya di sebuah hotel di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abd Halim serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, perubahan teknologi yang pantas memerlukan masyarakat sentiasa bersedia kerana banyak aplikasi yang digunakan hari ini tidak wujud lima hingga 10 tahun lalu.
“Kita harap generasi kini dan masa depan nanti ‘fasih teknologi’ kerana akan berdepan cabaran teknologi baharu yang bakal muncul pada masa hadapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


