PM ajak pembangkang gembleng tenaga tangani pandemik COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Perdana Menteri menawarkan kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tawaran itu selaras titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini supaya semua ketua parti melupakan perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Katanya, menyorot kembali tempoh sepenggal selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, dengan hanya berbaki 21 bulan sebelum PRU-15, negara telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri.

“Sebenarnya, peralihan tersebut dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara. Marilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik.

“Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri – dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah air ini,” katanya dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen utama, hari ini.

Beliau berkata, semua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi
mengharmonikan semula suasana atau dalam erti kata lain, perlu
mendakap erat prinsip kebersamaan.

“Saya faham, kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Oleh itu, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan. Ini termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti.

“Justeru, saya ingin menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19,” katanya.

Tegas Ismail Sabri, beliau akan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.

“Saya berikrar menghasilkan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat
kepada pasukan saya tidak dipersiakan.

“Hasrat ini hanya berupaya dicapai melalui kerjasama daripada seluruh
pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara.

“Marilah kita bersama-sama sebagai Keluarga Malaysia mengembalikan
kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika
dulu,” katanya

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

379
Kongsi :
Previous post PM perkenalkan slogan ‘Keluarga Malaysia’
Next post Kerajaan umum pembelian tambahan enam juta dos vaksin- PM
Ubah saiz-+=