PM Anwar sangkal dakwaan rumah terbuka di tiga negeri kerana PRN

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PETALING JAYA, 21 April – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyangkal dakwaan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI di Kedah, Kelantan dan Terengganu kerana negeri-negeri berkenaan bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata ini kerana majlis itu bukan sahaja diadakan di tiga negeri pembangkang, tetapi juga akan diadakan di Selangor.

“Negeri banyak, semua, Selangor ada… Tidak, tidak (bukan hanya negeri pembangkang),” katanya ringkas kepada pemberita di Masjid As-Salam, Pangsapuri Petaling Perma, di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai dakwaan kerajaan sengaja mengadakan majlis berkenaan di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang, yang bakal menghadapi PRN.

Semalam, Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri sempena sambutan Aidilfitri 2023 akan diadakan di tiga negeri iaitu Kedah pada 29 April, diikuti Kelantan (12 Mei) dan Terengganu (13 Mei) selain Anwar dijangka menghadiri tiga lagi majlis rumah terbuka di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Terdahulu, Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat setempat di Masjid As-Salam, Pangsapuri Petaling Perma.

Beliau yang tiba di masjid berkenaan pada kira-kira 1 tengah hari turut diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Medan Shamsul Firdaus Mohamed Supri.

Anwar dan jemaah turut mendengar khutbah bertajuk ‘Meraih Hasil Tarbiah Ramadan’ yang disampaikan Ketua Biro Dakwah masjid berkenaan Mohamad Firdaus Mahad.

Selesai menunaikan solat Jumaat yang diimamkan Mohamad Firdaus, Perdana Menteri meluangkan masa bersalaman serta beramah mesra dengan beberapa jemaah sebelum meninggalkan masjid itu kira-kira pukul 2.15 petang.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3514
Kongsi :
Previous post Bekalan telur ayam di Pantai Timur mencukupi menjelang Aidilfitri esok – Salahuddin
Next post Jualan Ambang Syawal Madani meriah
Ubah saiz-+=