PMM ketengah 59 produk inovasi rekaan pelajar

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

MERLIMAU 31 Dis – Politeknik Merlimau Melaka (PMM) mengetengahkan 59 produk inovasi rekaan pelajar semester akhirnya menerusi penganjuran Program PERKAYA Inovasi, baru-baru ini.

Pengarahnya, Mohd Hatta Zainal berkata daripada jumlah itu sebanyak 12 penyertaan dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik (13), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (tujuh), Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (14) dan Jabatan Perdagangan (13).

“Program ini selari dengan visi politeknik iaitu sebagai peneraju institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang unggul.

“Melalui penyelidikan dan inovasi ini pelajar berpeluang mengaplikasikan kemahiran teknikal dalam bidang atau program yang mereka ceburi sekali gus memberi nilai tambah apabila berada di pasaran pekerjaan kelak,” katanya.

Pada program itu, Anugerah Projek Terbaik Kategori Sains Sosial telah dimenangi Nurul Liyana Mat Zaik bersama pensyarahnya Izalisa Ahmad dengan projek ‘Homeless Transit Centre 1’, manakala Anugerah Projek Terbaik Kategori Sains Fizikal dimenangi kumpulan pelajar diketuai Muhammad Khairil Amri Suhaimi bersama pensyarah Izatul Syazreen Mohd Ismail bagi produk inovasi D’Innovation of Ecohaqiba.

REKABENTUK projek ‘Homeless Transit Centre 1

Menurut Izalisa, dia memberi kebebasan penuh kepada pelajarnya untuk mencari idea bagi berkarya selain memberi ruang kepada Nurul Liyana untuk menghasilkan inovasi berdasarkan kaca mata mereka.

“Saya ingin memberi kredit terhadap pelajar saya Nurul Liyana kerana berjaya hasilkan satu reka bentuk yang dapat menarik hati juri iaitu reka bentuk bangunan pusat transit gelandangan kepada penduduk di bandar.

“Antara tujuan pembinaan seni bina bangunan ini bagi menarik perhatian pelancong dan masyarakat setempat di Bandar Kota Bharu Kelantan.

“Reka bentuk baharu ini mengikut konsep simplicity modernist yang menambah pendekatan moden terhadap kawasan warisan tetapi pada masa yang sama menghargai persektiaran warisan,” katanya.

Selain dua anugerah utama ini, turut dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Khas Juri adalah produk inovasi ‘Acceptance Muslim Friendly Product of 7 in 1 ibadah Kit’ oleh kumpulan pelajar yang diselia oleh pensyarahnya Ruhana Wati Iran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1364
Kongsi :
Previous post Pakaian terpakai hasil derma mangsa banjir dikongsi bersama
Next post Banjir: Penduduk berjaga malam pantau keadaan
Ubah saiz-+=