PN selesai bahagi kerusi untuk PRN Johor

Masa Membaca:59 Saat

BATU PAHAT, 7 Feb – Perikatan Nasional (PN) telah selesai membahagikan semua kerusi yang akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi, kata Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata pembahagian melibatkan Bersatu, PAS dan Gerakan itu selesai sepenuhnya petang semalam namun pengumuman calon hanya akan dilakukan selepas 11 Feb ini apabila PN selesai mengadakan beberapa program termasuk pelancaran jentera di Johor Bahru.

“Bagi kerusi yang dipertandingkan, kita akan fokus semua kerusi tetapi kita mempunyai beberapa tempat yang kita yakin ada peluang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Penerangan Isu Semasa di sini malam tadi.

Wan Saiful berkata bagi kerusi tumpuan, ia akan diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya PRN Johor Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan beliau telah menggariskan strategi besar untuk seluruh negeri.

Mengulas mengenai tindakan lebih 300 ahli Bersatu Bahagian Tanjung Piai keluar daripada parti itu dan menyertai Warisan, beliau berkata Bersatu tidak terkesan dengan perkara yang berlaku dan tetap akan bertanding di kawasan terbabit.

Menurut Wan Saiful, pengumuman keluar parti itu hanya dibuat oleh individu dan tidak menjejaskan struktur parti malah keahlian mereka akan digantikan dengan orang lain.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1227
Kongsi :
Previous post SPRM serbu pejabat MARA siasat dakwaan salah laku
Next post Rayuan Khairy berhubung saman fitnah Anwar terhadapnya ditolak
Ubah saiz-+=