Polis akan panggil Norhizam dalam masa terdekat

0
756
Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali

BUKIT BERUANG 13 Okt – Polis akan memanggil bekas Exco Kerajaan Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee untuk dirakam keterangan susulan tindakan rampasan kenderaan rasmi, semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, setakat ini lima individu dipanggil untuk diambil keterangan dan dijangka akan memanggil lebih ramai lagi.

“Dalam masa terdekat, polis akan mengambil keterangan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu memandangkan semasa rampasan kereta milik kerajaan dilakukan, beliau tiada di situ.

“Setakat ini hanya lima individu terdiri daripada kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) yang dipanggil untuk ambil keterangan dan kita jangka akan memanggil lebih ramai lagi.

“Ketika Norhizam dihubungi, beliau memberitahu mempunyai urusan lain dan meminta pemandu rasmi untuk mewakilinya menyerahkan kereta, kunci kereta, kad minyak dan kad ‘touch n go’ kepada pihak polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.

Tambah Abdul Majid, lokasi rampasan kereta tersebut iaitu di sebuah kondominium di Jalan Tun Perak dipercayai disewa Norhizam.

“Norhizam dipercayai mempunyai rumah sewa di Parkland Residence dan lot parking di mana kenderaan milik kerajaan negeri dirampas juga adalah sama dengan nombor rumah sewa beliau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.