Polis buru dua penyamun

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BATU BERENDAM 11 Feb. – Dua lelaki diburu polis selepas terbabit dalam kejadian samun seorang wanita ketika sedang bekerja di sebuah kedai serbaneka di Taman Malim Jaya pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada mangsa berusia lingkungan 30-an kira-kira jam 6.35 pagi tadi memaklumkan disamun seorang lelaki ketika sedang bekerja di premis berkenaan.

“Dalam kejadian tersebut, suspek yang memakai pelitup muka memasuki premis terbabit seperti seorang pelanggan sebelum tiba-tiba mengeluarkan sebilah parang panjang berukuran kira-kira dua kaki.

“Suspek mengacukan senjata berkenaan ke arah mangsa sambil mengarahkannya membuka peti simpanan wang tunai sebelum melarikan wang tunai keseluruhannya berjumlah RM89.95,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman

Tambahnya, suspek yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut melarikan beberapa kotak rokok pelbagai jenis di rak pameran rokok dan di atas lantai kaunter.

“Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Suspek kemudian melarikan diri dipercayai menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih dipandu rakannya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata,” katanya

Mohd Sukri menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Assyukri Saini di talian 017-3827573.

Views:

537
Kongsi :
Previous post ‘Kami bukan orang jahat’
Next post Zainal cuba ‘resepi’ baharu
Ubah saiz-+=