Sorting by

×

POLIS BURU PENUMPANG TOYOTA HILUX LARIKAN DIRI SELEPAS KEMALANGAN

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 6 Mei – Usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan seorang penumpang sebuah Toyota Hilux yang melarikan diri selepas kenderaan berkenaan terbabit kemalangan ketika dikejar polis di Kilometer 216.8 Lebuhraya Plus menghala utara berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, jam 4.30 pagi tadi.

Terdahulu dalam kejadian di Taman Teknologi Cheng, individu berkenaan bersama rakan berusia 29 tahun juga pemandu Toyota Hilux bertindak memecut pacuan empat roda berkenaan selepas menyedari kehadiran polis.

Polis kemudian bertindak mengejar pacuan empat roda itu yang dipecut menghala ke arah Johor Bahru, Johor dipercayai untuk meloloskan diri.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pemandu pacuan empat roda itu berjaya ditahan selepas Toyota Hilux berkenaan terlibat kemalangan dengan empat kenderaan lain akibat dipandu secara melawan arus.

“Bagaimanapun penumpang bertindak melarikan diri dengan menyeberang lebuh raya untuk ke laluan bersebelahan. Kami kini giat mengesan lelaki terbabit dan rakaman keterangan daripada rakannya turut diambil bagi mendapatkan maklumat berkaitan dirinya.

“Pemandu Toyota Hilux itu kini direman empat hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 279 KK, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mereka disyaki terbabit dalam kegiatan curi kabel susulan pemeriksaan terhadap pacuan empat roda dinaiki yang membawa kepada penemuan 44 batang wayar kabel.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2053
Kongsi :
Previous post POLIS TEMBAK MATI TIGA INDIVIDU TERLIBAT SINDIKET CURI KENDERAAN