Polis Johor buka kertas siasatan penganjuran parti seks bebas

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

JOHOR BAHRU, 25 Mei – Polis Johor telah membuka kertas siasatan berhubung poster penganjuran parti seks bebas yang didakwa berlangsung bulan depan, seperti yang tular di laman Twitter baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kertas siasatan itu dibuka di bawah Seksyen 292 (e) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, beliau berkata bagi kesalahan penyebaran melalui media sosial, pihaknya akan membuat siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Polis Kontinjen Johor telah terkesan satu penularan poster melalui media sosial yang mempromosikan pesta seks bebas. Pihak polis memberi amaran yang keras kepada pihak penganjur agar acara tersebut tidak diteruskan, dan dibatalkan.

“Kita juga akan membuat pemantauan berterusan atas apa-apa juga penganjuran acara yang menyalahi undang-undang dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah supaya menyalurkan maklumat ke bilik gerakan polis Johor menerusi talian 07-2212999.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kebimbangan atau menggugat ketenteraman awam.

Selasa lepas, kerajaan negeri memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak menganjurkan sebarang program yang boleh mendorong orang ramai melakukan maksiat dan kegiatan tidak bermoral. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid turut memohon kerjasama orang ramai untuk membantu mencegah dan menghalang kegiatan itu daripada berlaku di Johor.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

954
Kongsi :
Previous post Notifikasi produk kosmetik Clemira Care Cream dibatalkan
Next post Black Eagles Korea curi tumpuan Agong
Ubah saiz-+=