Polis kesan ibu bayi

Masa Membaca:58 Saat

AYER KEROH 5 Nov.- Polis kini giat mengesan ibu kepada bayi lelaki baru lahir yang masih bertali pusat ditemui ditingalkan di dalam semak dalam kejadian di Jalan Sidang Hassan 1, Bukit Katil semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri (Risikan/ Operasi) Superintendan Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan petunjuk bagi mengesan pelaku dan ibu kepada bayi itu.

“Pagi ini sepasukan polis kembali ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan bagi mendapatkan petunjuk selain turut mendapatkan keterangan daripada beberapa penduduk di kawasan itu.

“Selain itu, pihak kami juga cuba dapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada bangunan berdekatan lokasi. Kawasan kejadian terletak kira-kira 200 meter dari kawasan penempatan,” katanya.

Sementara itu, penduduk kampung Yuszida Hashim, 40, berkata,
dia bergegas mengangkat serta memeluk tubuh kecil bayi itu selepas mendapatinya dibiarkan di atas rumput dalam celahan semak dengan hanya dibaluti sehelai baju hitam

“Amat sedih ketika mengangkat bayi itu, belakang badannya bukan hanya dipenuhi najis, malah mula dihurung semut selain kakinya juga turut terdapat kesan calar terkena lalang.

“Walaupun pada mula agak serba salah memandangkan kita kini berada dalam pandemik COVID-19, namun dia perlu diselamatkan kerana tidak sanggup melihatnya dibiarkan di tengah cuaca panas,” katanya.

Views:

337
Kongsi :
Previous post COVID-19: Lima kes baharu di Melaka
Next post Premis kosong bantu belia mulakan perniagaan – Exco Belia
Ubah saiz-+=