Polis kesan waris mayat wanita terdampar di Pantai Puteri

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 27 September – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sedang mengesan waris seorang wanita yang dijumpai sudah meninggal dunia di Pantai Puteri jam 8 pagi, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asistan Komisioner Christopher Patit berkata, setakat belum ada mana-mana individu yang tampil bagi melakukan pengecaman berhubung penemuan mayat wanita berkenaan yang kini ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

Christopher berkata, hasil pemeriksaan pihaknya tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat berkenaan.

“Mangsa berketinggian 5 kaki 2 inci berusia lebih kurang 20-an, muka bujur dan warna kulit kuning langsat.

“Rambutnya melepasi paras bahu dan ketika ditemui mangsa memakai baju ‘T’ warna hitam yang tertulis ‘Melaka Bandaraya Bersejarah’ serta berseluar panjang,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Berikutan itu, mana-mana pihak mengenali mangsa diminta tampil segera bagi proses pengecaman atau menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mejar Ab Halim Abdullah di talian 017-622 2846.

Maklumat juga boleh disalurkan di talian hotline IPD Melaka Tengah 06-284 1999.

Sebelum ini, media melaporkan, penemuan mayat wanita terdampar di Pantai Puteri pada Ahad lalu.

Pemeriksaan awal terhadap mayat berkenaan tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah.

Usaha mengenal pasti identiti mangsa turut dilakukan menerusi pemeriksaan cap jari selain wanita berkenaan dipercayai rakyat Malaysia berdasarkan kesan suntikan Bacillus Calmette-gurin (BCG).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3444
Kongsi :
Previous post Ibu tunggal dan rakan mengaku salah aniaya, abai anak
Next post Persimpangan Ramuan China Besar – Ayer Molek ditutup 3 Oktober depan
Ubah saiz-+=