pesawat 108

Polis klasifikasi kematian juruterbang TUDM sebagai mati mengejut

BUKIT MERTAJAM 18 Nov – Polis mengklasifikasikan kes kematian juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kapten Mohamad Affendi Bustamy dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108 terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, Selasa lepas sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ketika ini pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu termasuk akan merekodkan keterangan daripada seorang juruterbang yang terselamat, Mejar Mohd Fareez Omar, 33, yang sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya.

“Setakat ini, polis menyiasat kejadian itu sebagai SDR namun kami masih menjalankan siasatan lanjut mengenainya. Siasatan lain termasuk dari segi teknikal dikendalikan oleh pihak tentera, kami serahkan kepada mereka (pihak tentera).

“Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pakar perubatan forensik Pulau Pinang, hasil bedah siasat kematian juruterbang TUDM (Mohamad Affendi) adalah disebabkan oleh pelbagai kecederaan yang konsisten dengan nahas udara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Ramli Din di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 10.07 malam itu, Allahyarham Mohamad Affendi, 31, dan Mohd Fareez sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 11.35 malam sama yang memaklumkan sebuah pesawat pejuang TUDM terhempas di Pangkalan Udara Butterworth.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pesawat dikendalikan dua juruterbang itu telah berlepas dari Lapangan Terbang Pangkalan Udara Butterworth untuk melaksanakan latihan penerbangan malam.

“Latihan itu dilaksanakan di ruang udara Pangkalan Udara Butterworth dan sesi latihan dikatakan telah berlangsung selama satu jam sebelum pesawat tersebut terhempas dan meletup.

“Kedua-dua juruterbang itu sempat keluar dari pesawat dengan menggunakan kerusi anjal namun seorang daripadanya meninggal dunia manakala seorang lagi cedera parah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Polis Diraja Malaysia sentiasa berusaha untuk menaik taraf mana-mana IPD dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen di seluruh negara dari semasa ke semasa dengan keutamaan terhadap IPD yang keperluannya ‘mendesak’. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

64
WhatsApp Image 2021-11-18 at 2.02.18 PM Previous post ‘Saya bukan berlakon’ – Dira
photo1637212581 Next post Dira guna peluang perkenal diri saat akhir