Polis Melaka bincang penguatkuasaan di pasar Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 14 April – Polis Melaka akan membincangkan penguatkuasaan lebih teratur di pasar Ramadan bagi mengelakkan berlakunya sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan orang ramai.

Ia susulan laporan Melaka Hari Ini (MHI) semalam mengenai ketidakpatuhan SOP oleh pengunjung sebuah pasar Ramadan di Taman Rambai Jaya yang sanggup bersesak-sesak membeli juadah berbuka.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, hasil pemantauan pihaknya pada hari pertama Ramadan semalam, tidak menafikan terdapat segelintir pihak sanggup mengabaikan SOP di pasar Ramadan.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bersama wakil agensi berkaitan bagi memastikan perkara sama tidak berulang seiring dengan usaha kerajaan untuk mencegah penularan pandemik COVID-19 dalam komuniti.

“Kita tidak nafikan hasil pemantauan hari pertama Ramadan ada kalangan orang ramai tidak mematuhi SOP ditetapkan, khususnya membabitkan penjarakan fizikal.

“Jadi, petang ini kami akan adakan mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan berkenaan isu ini.

“Ia antara lain akan membantu kita memastikan penguatkuasaan lebih teratur di pasar Ramadan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali turut memberi amaran tegas kepada penganjur pasar dan bazar Ramadan seluruh negeri agar menitikberatkan aspek pematuhan SOP.

Katanya, jika didapati ada dalam kalangan penganjur pasar Ramadan masih membiarkan pengunjung bersesak-sesak, maka pihak kerajaan negeri boleh membatalkan penganjuran pasar Ramadan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

506
Kongsi :
Previous post Polis Johor mahu dakwa anggota, pegawai terbabit Geng Nicky di mahkamah
Next post Hampir 200 peserta dapat kerja di Karnival Kerjaya 3 Daerah
Ubah saiz-+=