Polis Johor mahu dakwa anggota, pegawai terbabit Geng Nicky di mahkamah

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

JOHOR BAHRU 14 April. – Polis Johor tidak akan menyerahkan senarai nama pegawai dan anggotanya yang dipercayai bersekongkol dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky, kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, sebaliknya akan mengambil tindakan di bawah Jenayah Terancang.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay juga tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai pegawai dan anggota polis yang bersekongkol dengan kumpulan jenayah terancang itu, dipercayai diketuai ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Beliau berkata Polis Johor membuktikan sebelum ini menerusi Op Benteng, yang berjaya menuduh 24 anggota agensi penguat kuasa di mahkamah di bawah Jenayah Terancang.

“Jadi ini adalah format yang saya akan gunakan dalam sindiket Datuk Seri Nicky. Keutamaan untuk ambil tindakan tatatertib, adalah langkah terakhir sekali. Kami masih lagi mengemaskini kertas siasatan, insya-Allah bila dah lengkap nanti, kita akan tangkap.

“Saya tidak akan serahkan kepada JIPS untuk ambil tindakan, saya nak ambil tindakan bawah Jenayah Terancang. Bagi saya itu yang paling tepat, mudah dan tegas untuk kita ambil tindakan,” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Semalam, Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Zamri Yahya dilaporkan berkata pihaknya masih menunggu senarai nama dari polis Johor untuk tindakan susulan ke atas pegawai dan anggota yang didakwa ‘bersekongkol’ dengan Geng Nicky.

Beliau berkata pihaknya tidak dapat mengambil tindakan berikutan tidak tahu siapa pegawai dan anggota yang dipercayai terbabit dengan geng berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, Ayob Khan berkata dari Januari lalu sehingga kini seramai 78 anggota dan pegawai polis berdepan tindakan tatatertib termasuk lapan dibuang kerja.

Bagi tempoh sama, 30 kertas siasatan turut dibuka membabitkan kesalahan rasuah, dadah, jenayah dan komersial.

“Minggu depan akan ada lagi 12 yang akan dibuang kerja. Tindakan buang kerja melibatkan anggota yang melakukan salah laku, bukanlah satu perkara yang membanggakan. Keutamaan kita ialah membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan segera,” katanya.

Sepanjang tahun lalu pula, katanya seramai 92 pegawai dan anggota telah berdepan dengan tindakan tatatertib.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

588
Kongsi :
Previous post Cadang Japerun, agensi kerajaan langgan akhbar MHI
Next post Polis Melaka bincang penguatkuasaan di pasar Ramadan
Ubah saiz-+=