Cadang Japerun, agensi kerajaan langgan akhbar MHI

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 14 April. – Kerajaan negeri mencadangkan akhbar Melaka Hari Ini (MHI) dilanggan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) serta agensi kerajaan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, usaha itu bagi memudahkan rakyat di negeri ini mengetahui perkembangan terkini yang sedang, telah dan bakal kerajaan negeri lakukan.

Katanya, pada masa sama langkah itu dapat membantu MHI menambah pendapatan bagi menampung kos operasinya.

SULAIMAN… kerajaan negeri mencadangkan akhbar MHI dilanggan oleh Japerun serta agensi kerajaan di negeri ini.

“Ada beberapa penambahbaikan boleh dilaksanakan dengan bantuan daripada agensi kerajaan. Dulu banyak agensi kerajaan menerima atau diberikan surat khabar Melaka Hari Ini.

“Dan banyak rakyat mendapat info-info terkini mengenai apa kerajaan negeri lakukan dan bakal lakukan,” katanya selepas melawat Pejabat MHI di sini, hari ini.

Katanya, Melaka mempunyai 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sekiranya kesemua DUN ini melanggan akhbar MHI sudah pasti ia dapat membantu MHI memperluaskan informasi kerajaan negeri kepada orang ramai.

“Jadi suka saya mencadangkan agar untuk rakyat di luar lebih mengetahui perkembangan terkini kerajaan negeri, eloklah diwujudkan semula surat khabar MHI di Japerun.

“Kita ada 28 Japerun, kalau setip Japerun ambil 100 atau 200 akhbar jadi ia dapat membantu MHI sendiri, begitu juga kepada agensi serta anak syarikat yang lain,” katanya lagi.

SULAIMAN meninjau operasi unit rekabentuk/ grafik MHI

Sulaiman berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Hasim Hasan bagi membolehkan akhbar MHI dilanggan di setiap Japerun serta agensi kerajaan negeri.

“Surat khabar MHI ini mestilah dilanggani oleh pihak Japerun, agensi kerajaan, pemain industri atau pihak kilang swasta.

“Saya percaya MHI akan menjadi surat khabar ataupun portal media sosial Facebook nombor satu dalam Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

487
Kongsi :
Previous post Kemenangan bukan sekadar pencapaian, tetapi sebuah persahabatan
Next post Polis Johor mahu dakwa anggota, pegawai terbabit Geng Nicky di mahkamah
Ubah saiz-+=