
POLIS MELAKA KOMITED BANTERAS SINDIKET MINTA SEDEKAH, JUAL KEREPEK
AYER KEROH 21 April – Polis Melaka komited membanteras sindiket meminta sedekah dan menjual kerepek khususnya di kaki lima bank sebelum berlangsungnya acara besar yang dijadualkan sepanjang tahun ini.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya mengesan unsur eksploitasi manusia melibatkan sindiket berkenaan yang sentiasa mencari peluang untuk mendapatkan wang dengan cara meraih simpati.
“Mereka sentiasa mencari peluang dan ruang, jika jual kerepek sudah tidak selamat mereka akan jual produk lain pula. Ada dalam kalangan mereka ini datang ke Malaysia kerana dijanjikan pekerjaan dan peluang mencari wang, namun apabila sampai dieksploitasi.
“Berikutan itu kita akan pastikan sebelum bermulanya program-program besar di Melaka, sindiket ini akan dihapuskan bagi menjaga nama baik negeri ini sebagai lokasi pelancongan terkemuka,” katanya.
Menurutnya, populariti Melaka sebagai destinasi pelancongan pilihan juga menyebabkan sindiket memilih untuk beroperasi di negeri ini.
Katanya, baru-baru ini Polis Melaka menahan seorang lelaki warga Thailand yang berperanan sebagai penyelia dan dipercayai mengeksploitasi sekumpulan wanita untuk meminta sedekah serta menjual kerepek di bank sekitar Melaka.
“Susulan itu kita berjaya menyelamatkan 11 wanita warga Thailand berusia antara 43 hingga 76 tahun yang berada di bawah sindiket yang kemudiannya kesemua mereka telah dihantar pulang ke negara asal.
“Selain mengadakan operasi berkala dalam menangani isu ini, Polis Melaka juga meminta kerjasama orang awam untuk tampil memberi maklumat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.