Polis prihatin bersihkan Pulau Besar

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

TELOK MAS 22 Jun – Meskipun sibuk dengan tugas penguatkuasaan, pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah sempat mencuri masa bergotong-royong membersihkan kawasan persisiran pantai Pulau Besar.

Program berkenaan disertai oleh 110 peserta yang terdiri daripada anggota polis dan beberapa agensi termasuk anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Turut serta pada program terbabit, Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Kampung (JPKK) Pernu dan Reaksi Daki Tembok Melaka (REDTMA).

Dalam program berkenaan, sebanyak 328 kilogram sampah berjaya dikutip selain diadakan perasmian pelepasan anak benih ikan dan penanaman pokok kelat paya yang disempurnakan oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah.

Menerusi Facebook rasmi Majlis Pembangunan Pulau-pulau Melaka (MPPM), program seumpama itu perlu dianjurkan dengan lebih kerap supaya memastikan kebersihan kawasan di sepanjang kepulauan Melaka terpelihara selain menjamin keselamatan orang ramai untuk berkunjung ke pulau berkenaan.

“Di samping itu, program seumpama itu dapat memberi kesedaran kepada pengunjung tentang kepentingan menjaga alam semula jadi persisiran pantai dan pulau.

ZAINOL (dua dari kiri) menyempurnakan penanaman pokok kelat paya sambil disaksikan Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah (kiri).

“MPPM merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada agensi-agensi yang mengambil bahagian untuk membantu menjayakan Operasi Pembersihan Bersepadu kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, turut diadakan mesyuarat bulanan Ketua Polis Melaka bagi membincangkan berkaitan isu semasa dan menjana idea baharu demi memastikan setiap perancangan program dilaksanakan mengikut sasaran ditetapkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1104
Kongsi :
Previous post Lelaki warga tempatan mati mengejut ketika dalam tahanan – Polis
Next post Pokok tumbang di Jalan Sungai Putat, penunggang motosikal cedera
Ubah saiz-+=