Polis rakam percakapan 19 individu kes kematian Dea Maisarah

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

SHAH ALAM, 25 Julai – Polis telah merakam 19 percakapan individu setakat ini berhubung kes kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, Dea Maisarah Bada yang dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata keterangan tersebut melibatkan kakitangan HTAR, ibu bapa mangsa, jiran, pihak sekolah dan beberapa anggota polis yang bertugas di pondok polis di hospital berkenaan.

“Polis perlu lakukan beberapa lagi tindakan termasuk meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) hospital dan mendapatkan laporan lanjut forensik (berhubung bedah siasat kanak-kanak itu).

“Kita juga belum dapat beri komen sekiranya ada (pihak) yang cuai sebab ia masih dalam siasatan untuk dilengkapkan sebelum dirujuk ke pihak pendakwa raya,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Hussein sebelum ini dilaporkan berkata polis mengesahkan menerima dua laporan berhubung kematian kanak-kanak tersebut di HTAR baru-baru ini iaitu daripada pihak hospital dan bapa mangsa, dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada 14 Julai, Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi menerusi kenyataan memaklumkan akan menjalankan siasatan berhubung kematian Dea Maisara ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan baru-baru ini.

Sementara itu, Hussein dalam sidang media yang sama memaklumkan empat sindiket pemprosesan dan pengedaran pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM7.94 juta berjaya ditumpaskan menerusi tujuh serbuan di kawasan kediaman sekitar Seri Kembangan, Kota Damansara, Putra Height, Jinjang dan Rawang pada 17 hingga 21 Julai lepas.

Beliau berkata menerusi serbuan yang melibatkan sindiket berasingan itu, pihaknya menahan 16 individu termasuk lima wanita dalam lingkungan 18 hingga 61 tahun dan merampas lebih 170 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis seperti heroin, methamphetamine, eramin 5 dan ketamin.

“Turut dirampas sepucuk pistol jenis revolver dipercayai buatan Amerika Syarikat yang motif kegunaannya masih dalam siasatan. Saringan awal mendapati dua daripada suspek positif dadah, manakala semakan menunjukkan tujuh suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah,” katanya.

Hussein berkata kesemua suspek direman secara berasingan selepas tarikh tangkap dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3868
Kongsi :
Previous post Bayi maut tersedak susu, tiada unsur dera atau pengabaian – Polis
Next post PM Anwar bakal lancar ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ esok
Ubah saiz-+=